CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

25 November 2008

Gelora di negeri bakal PM

Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Mohd Sharkar Shamsudin mengumumkan hasrat kerajaan negeri melantik pesara menjadi penulis blog. Tujuan perlantikan itu, menurut Sharkar untuk menerangkan sesuatu isu kepada rakyat dan menepis fitnah terhadap kerajaan negeri.

Buat permulaan, kata Sharkar yang juga Ketua Umno Bahagian Temerloh, tiga pesara akan dilantik dengan dibekalkan komputer riba dan diberikan elaun dengan menjalankan kerja-kerja di rumah.

Nasib baiklah Sharkar sudah mengumumkan perlantikan itu, jika tidak tentunya ramai yang memikirkan kemungkinan Kerajaan Negeri Pahang mahu melantik pesara-pesara seperti bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno yang masih kekal sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Paya Besar, Dato' Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman menjayakan hasrat kerajaan negeri itu.

Langkah perlantikan pesara ini (baca : mungkin terpaksa) dibuat kerana kerajaan negeri nyata gagal berhadapan dengan serangan dari pelbagai pihak, lebih-lebih lagi isu penjualan tanah seperti yang didedahkan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Tajuddin Sulaiman dan beberapa isu yang membabitkan syarikat balak menyaman kerajaan negeri.

Pahang, negeri di mana datangnya bakal Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kelihatan kucar kacir politiknya kebelakangan ini. Walaupun Umno/BN masih memerintah, tetapi kekalahan beberapa ketua bahagian dalam pemilihan Umno baru-baru ini menunjukkan, perpecahan semakin ketara.

Sumber dalaman mendakwa, kepimpinan Adnan selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, nyata tidak dapat mengawal kesemua ketua-ketua bahagian, hingga menyebabkan pencalonan dari negeri Pahang untuk jawatan Timbalan Presiden Umno, gagal memperlihatkan 'kehendak' Najib selaku bakal Presiden Umno.

Ketika Adnan mengatakan pencalonan adalah hak bahagian-bahagian, seolah-olahnya beliau tidak ada rasa hormat kepada Najib sebagai bakal Perdana Menteri dan bakal Presiden Umno, seolah-olah ada perkara yang tidak kena di dalam Umno Pahang.

Tidak hairanlah, jika Mohd Sharkar terlintas untuk memulakan perlantikan terhadap pesara-pesara (baca:penyokong Umno sahaja) menjadi penulis blog. Barangkali, Sharkar sudah terasa bahawa rakyat sudah tidak dapat lagi mempercayai kata-kata pemimpin mereka, malahan, hubungan kurang mesra MB Pahang dengan media arus perdana juga dilihat menjadi salah satu puncanya. Secara sinis dan kasar Adnan memberitahu, beliau sudah lama tidak membaca surat khabar dan pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah bergantung kepada laporan media.

Satu persoalan timbul sekarang, apakah Sharkar yakin blog yang bakal dijayakan pesara kerajaan ini akan mendapat sambutan? Masih adakah rakyat Pahang yang melayari blog pro kerajaan negeri ini kerana, dalam keadaan dunia tanpa sempadan sekarang, pemikiran rakyat sudah tidak boleh dikongkong lagi. Adalah lebih baik bagi Sharkar bersama-sama rakan-rakannya yang lain dalam kerajaan negeri, memastikan penyelewengan tidak berlaku.

Sejarah membuktikan, Umno Pahang sentiasa bergelora. Walaupun ia kurang terdedah tetapi kekalahan calon BN dan MCA di Pahang dalam PRU 12 yang lalu, dikaitkan dengan kebencian orang-orang Melayu terhadap sikap Najib dan Adnan. Tidak hairanlah kalau Najib sendiri hampir tewas di Parlimen Pekan beberapa tahun yang lalu, kerana rakyat mahu menegurnya.

Dari catatan sejarah Umno, Pahang adalah antara negeri yang paling ramai melahirkan tokoh-tokoh besar Umno. Selain Allahyarham Tun Razak Hussein, nama-nama seperti Tun Ghazali Shafie, Hamzah Abu Samah, Tun Mohd Khalil Yaakob, Sabbaruddin Chik, Abdul Rahman Talib, Abdul Rahim Bakar dan Adam Abdul Kadir.

Namun, kehadiran nama-nama besar ini tidak pernah menghalang bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Fauzi Abdul Rahman bertindak meninggalkan Umno dan menyertai Parti KeADILan Rakyat. (Baca:meninggalkan Umno ketika Najib sudah di ambang kekuasaan)

Semua ini ada implikasinya. Apakah Adnan tidak diterima atau Najib sendiri ditolak di Pahang, mungkin akan diketahui sebaik sahaja pesara kerajaan negeri memulakan tugasnya menerangkan sesuatu isu yang tidak diketahui.

Malangnya, Sharkar mungkin tidak terfikir, kebanyakkan pesara kerajaan akan memilih untuk menyokong pembangkang. Selama ini, ketika mereka berkhidmat, pelbagai sekatan dan tekanan yang tidak membenarkan mereka bebas,tetapi sebaik sahaja bersara, biasanya mereka lebih berani dan terbuka.

Jangan pula Sharkar tersalah pilih nanti. Kalau pesara yang diharapkan menulis hal-hal yang baik mengenai kerajaan negeri, tidak melakukannya seperti kehendak kerajaan negeri, malanglah kerajaan negeri. Maka, Sharkar mungkin terpaksa melantik pemantau pula bagi memantau kesetiaan pesara yang mereka lantik menjadi penulis dan diberikan elaun bulanan.