CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

24 November 2008

Kenyataan Akhbar Ketua Wanita UMNO


Memandangkan bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat telah membuat kenyataan akhbar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO, maka saya dengan ini:


1) Akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang, dan insya-Allah akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011.


2) Saya menghargai dan menghormati pencalonan yang telah saya terima daripada 117 bahagian itu.

3) Saya memulangkan kepada para perwakilan yang mewakili akar umbi untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu.

Saya kecewa kerana pelan peralihan telah dipertikaikan dan ditolak, lebih tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada 4 Ogos 2008.

Semenjak tarikh itu, tiada sesiapa dalam Exco atau di luar yang telah mempertikaikannya.

Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam Exco dan dalam sidang media telah berkali-kali menegaskan:

a) Beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua walaupun dicalonkan.

b) Beliau patuh kepada pelan peralihan.

c) Beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.

d) Bahkan beliau telah menyatakan bahawa “kata akan dikotakan” dan my word is my honour. (Semuanya telah disiar dalam media).

Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.

Jika dalam mana-mana perbincangan ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, wajar dibangkitkan dan dibantah.

Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu.

Dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.

Tetapi, ‘bantahan’ ditimbulkan selepas mereka telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, maka baru membantah dengan berbagai alasan yang sebenarnya tidak berasas.

Ada pula pihak-pihak yang mahukan pelan peralihan dipercepatkan dari Jun ke Mac 2009. Ini tidak logik.

Jika dibuat pada bulan Mac, ia bererti:

a) Tidak ada lagi pelan peralihan yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan.

Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung itu dijadualkan pada Disember 2008. Ia telah dianjak kepada Mac tetapi pelan peralihan tidak terjejas.

b) Jika dipercepat kepada Mac, ia juga bererti bahawa saya dipaksa menyerahkan jawatan ketua secara bulat-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding.

Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk memegang jawatan hingga Jun 2009.

Sekarang kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan Ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang saya sandang sekarang ini.

Saya ingin menyarankan supaya pertandingan semua jawatan dalam Pergerakan Wanita UMNO hendaklah dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas dan jangan sekali-kali menjejaskan sesiapa atau menjejaskan parti.

Jangan sekali-kali mengada-adakan atau menabur fitnah dan berbohong atau membawa pecah belah. Allah S.W.T menentukan segala-galanya. Tidak ada yang lebih besar daripada kuasa Allah S.W.T.

Terima kasih.


Tan Sri Rafidah Aziz,
Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
21 November 2008.