CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

26 November 2008

Salahkah tulisan pelbagai bahasa ?

Syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana terus komited untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan dan tulisan Jawi di dalam pentadbirannya di samping tidak mengabaikan bahasa-bahasa kaum yang lain.

Tindakan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng benar-benar memalukan pimpinan Umno kerana tercatat di dalam sejarah Malaysia bahawa di bawah Umno tulisan Jawi pernah dihapuskan di dalam sistem pendidikan (baca : Khir Johari). Kini, Lim Guan Eng ingin mengembalikan semula tulisan Jawi di semua papan tanda dengan Bahasa Kebangsaan tetap diperkasakan di samping permintaan dari bangsa lain supaya bahasa mereka diangkat bersama.

Jadi, apa masalahnya bagi mereka yang menentang langkah Ketua Menteri P.Pinang tersebut? Apa motif bagi 'penghasut-penghasut' di Pulau Pinang yang mendesak agar orang-orang Melayu bangun menentang Kerajaan P.Pinang? Salahkah jika tulisan Bahasa Kebangsaan diperkasakan di samping tulisan Jawi juga dipamerkan? Adakah buruk sangat tulisan Bahasa Cina dan India ini sehingga tidak boleh langsung dipamerkan pada orang awam? Apakah tulisan Cina dan India ini hanya layak berada di dalam buku-buku sekolah dan perpustakaan di Sekolah Jenis Kebangsaan sahaja? Jua dengan terteranya tulisan Cina atau India di mana-mana, maka orang Melayu jatuh miskin dan papa kedana?

Mengapa tidak dihiraukan sekarang kebanyakan perjanjian, dokumen atau persuratan yang diamalkan oleh institusi kewangan atau bank-bank di negara ini masih menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama?

Bagaiman dengan nama singkatan Umno sendiri? Apakah Umno itu sendiri menjadi sedemikian parahnya kerana singkatan perkataan U.M.N.O adalah diambil dari bahasa penjajah bukan singkatan ejaan Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang mana ia seharusnya PKMB bukan UMNO jika benar gologan ini ingin memperkasakan Bahasa Kebangsaan.

Saya sendiri malahan ramai lagi orang-orang Melayu tidak akan bersetuju sekiranya Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan dilenyapkan terus oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau mana-mana kerajaan negeri sekali pun.

Apa pun hasrat murni Kerajaan Negeri P.Pinang untuk mendaulatkan tulisan bahasa-bahasa ibunda rakyat di negara ini, semestinya Bahasa Kebangsaan diutamakan dan diperkasakan.

Usahlah diharapkan kepada Umno atau pertubuhan seperti Pewaris atau Perkasa (baca : proksi UMNO) untuk kita melihat negara ini aman tenteram tanpa seorang pun yang boleh mendabik dada menghina atau memperlekehkan kaum-kaum yang lain.

Persepakatan telah dibuat di antara rakyat untuk bersetuju dengan kesemua yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara berkaitan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu termasuk agama dan bahasanya di samping memberi keadilan kepada semua bangsa di bumi tercinta ini.