CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

30 Disember 2008

Erdogan & Dr Burhanuddin Al-Helmi

Di sebalik istilah Erdogan yang kian popular di media massa, Erdogan yang sebenar atau nama penuhnya Rajab Taib Erdogan merupakan seorang pejuang Islam di turki yang kini sudah memegang jawatan Perdana Menteri Turki. Kemenangan parti AKP dalam pilihanraya yang membawa beliau menjadi Perdana Menteri Turki menyebabkan dunia Islam memerhatikan beliau.

Tidak ketinggalan yang memerhatikan beliau adalah sebilangan pejuang-pejuang Islam dari Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ketika itu, rata-rata pengulas memuji tindakan beliau yang dilihat agak moderat yang berjaya menarik sokongan rakyat turki yang sekian lama menebal dengan fahaman sekular yang berjaya di tanam oleh Mustafa Kamal Art-Tarturk

Selepas tsunami politik menimpa rakyat malaysia pada 8 mach yang lalu pula, nama erdogan mula di gembar gemburkan. Tetapi, kali ini, nama itu tidak disinonimkan dengan sesuatu yang terpuji, tetapi disinonimkan dengan sesuatu yang agak negatif.

Aku secara peribadi, tidak mendalami dan mengambil endah sangat tentang pergerakan politik di turki. Yang aku tahu hanya sekadar, turki sebuah negara yang mengamalkan dasar sekular dalam pemerintahan, sehinggakan dasar itu tidak boleh dipertikaikan langsung.

Pada pandangan turki, dosa Mempertikaikan dasar itu, sama besar dosa mempertikaikan Al-Quran yang diturunkan oleh Allah, sehinggakan mereka yang mepertikaikan itu boleh dihadapkan kemahkamah, seterusnya dipenjara.

Pun begitu, setelah kalimah ”erdogan” dimain-mainkan dimedia elektronik, sama ada media internet mahupun media massa yang lain, minat untuk mengetahui tentang erdogan semakin berkobar-kobar. Lebih-lebih lagi, apabila ianya dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

Setelah mencari sebahagian maklumat dari internet, secara kesimpulannya aku secara peribadi beranggapan, erdogan yang dilihat kononnya sebagai seorang pembawa bendera politik ”islam ala sekular” itu merupakan satu watak yang dirasakan agak relevan dengan bawakan beliau dikala turki mengalami masalah tekanan politik di sana.

Ini kerana, didapati sebelum ini sebuah parti Islam juga telah menang dan berjaya menabalkan erbakan sebagai Perdana Menteri, tetapi menyedihkan kejayaan mempertahankan kemenangan tidak lama, ekoran islam yang diperjuangkan itu terlalu terbuka, menyebabkan pihak ketenteraan turki telah menggulingkan kerajaan beliau dengan alasan bercanggah dengan perlembagaan turki yang berasaskan kepada sekular, disamping beliau dihadapkan ke Mahkamah dan parti Refah yang telah diasaskan oleh beliau juga diharamkan.

Ekoran dari pengharaman itulah, menyebabkan erdogan dan Abdullah Gul telah berusaha mengasaskan AKP, yang merupakan sebuah parti yang dilihat agak liberal dari segi pendekatan dan sebilangan perinsipnya. Tindakan Erdogan dan Abdullah Gul bertindak sedemikian adalah kerana berdasarkan beberapa pengalaman semasa berada dalam parti Refah dahulu.

Memandangkan tindakan dari erdogan itulah, menyebabkan ramai mendakwa bahawa Islam yang diperjuangkan oleh AKP adalah ”Islam ala sekular”. Lebih-lebih lagi, beberapa tindakan Erdogan yang nampak agak lunak dengan dunia-dunia barat dan israel.

Pun begitu, ada pihak yang tidak mempercayai disebalik kelunakan erdogan dengan dunia barat sehingga mendakwa bahawa tindakan erdogan itu adalah ”politik olok-olok”.

Yang menariknya, disebalik tuduhan liar terhadap erdogan sebagai pembawa bendera ”islam ala sekular” itu, beliau dilihat agak bersungguh-sungguh dalam memartabatkan mutu pendidikan dan membuka ruang bebas dalam wacana dan penyelidikan, berbanding semasa erbakan semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.

DR BURHANUDDIN AL-HELMI

Tindakan dan cara Erdogan ini, menyebabkan aku teringat dengan perjuangan seorang tokoh yang hebat di Malaysia, iaitu Dr Burhanuddin Al-Helmi. Seorang tokoh yang pernah berjuang menggunakan wadah Parti islam SeMalaysia (PAS) dan mati dalam perjuangan tersebut.

Jika diperhatikan kepada Dr Burhanuddin Al-Helmi, pemikiran politik beliau amat unik, dan ketokohan beliau amat sukar untuk dicari ganti di zaman kini, walaupun ianya sememangnya wujud. Siapa orang itu???

Dr Burhanuddin Al-Helmi telah mengetengahkan pemikiran yang menggabungkan aliran Islamis dan nasionalis, bertujuan mengetengahkan suatu pemahaman yang luas dan sejagat tentang nasionalis dengan tidak memfokuskan kepada sesuatu bangsa sahaja, disamping menjangkau pemikiran politik perkauman.

Dibawah pimpinan beliau, PAS ketika itu dilihat sebagai sebuah parti Islam yang radikal yang anti-kolonialis dan anti-imperialis. Iaitu parti yang menitik beratkan kebebasan ekonomi dan perjuangan menentang penjajah, serta perlunya mengetengahkan Islam aktivis yang popular, dinamik dan berasaskan kepada isu.

Dr Burhanuddin Al-Helmi tidak menumpukan perhatiannya kepada perbezaan antara pendirian idelogi golongan Islamis, nasionalis dan sayap kiri. Sebaliknya, beliau bertindak berusaha membangkitkan titik persamaan antara parti-parti yang lain.

Tindakan beliau sebeginilah, menyebabkan beliau berjaya menyebarkan mesej Islam kepada khalayak ramai. Disamping itu juga, kemahiran beliau dalam rundingan partinya berjaya merapatkan jurang ideologi antara golongan Islamis dan parti rakyat dan parti buruh, walaupun cara pemikiran sebegini amat bercanggah dengan pemikiran politik Islam di Pakistan yang diasaskan oleh Abu ’Ala Al-Maududi ketika itu.

ISLAM DI MALAYSIA KINI??

Secara peribadi, aku beranggapan bahawa Islam di Malaysia masih lagi dijajah. Penjajahan terhadap islam di Malaysia, bukanlah dijajah oleh orang kafir, yahudi atau nasrani. Tetapi, penjajahan yang berlaku terhadap Islam di Malaysia adalah dari beberapa sudut, iaitu;
UMNO/BN
Tidak ada keilmuan dan dialog terbuka tentang Islam.
Pihak UMNO/BN dengan propaganda jahat mereka terhadap Islam dalam menyerang PAS, dalam masa yang sama dilihat golongan Islam di Malaysia agak kurang suka kepada dialog, sedangkan tindakan mewujudkan dialog antara agama merupakan satu tindakan yang bijak, bahkan bersesuaian dengan ajaran Al-Quran.

Firman Allah:

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya;
”Katakanlah, datangkan bukti-bukti kamu, jika kamu dari kalangan mereka yang benar” (Surah Al-Baqarah : 111)

Padaku, amat susah mahu menyampaikan islam dikala UMNO/BN masih lagi memerintah. Kesusahan ini amat terserlah, apabila mereka masih lagi menguasai media yang sudah pasti menjadi asas utama dalam menentukan minda rakyat.

Ini ditambahi lagi dengan sistem demokrasi yang di amalkan di Malaysia lebih bersifat zalim, bahkan berat sebelah. Seperti penyelewengan SPR, sistem kehakiman dan sebagainya. Dalam masa yang sama, kehadiran bangsa cina dan india yang masih kekal dengan kejahilan mereka terhadap Islam, merupakan penghalang tegar dalam usaha melaksnakan islam di Malaysia.

Memandangkan keadaan ini sedang berlaku, seharusnya kita tidak boleh gopoh dalam perlaksanaan Islam, bahkan selayaknya didahulukan usaha untuk melakukan penerangan Islam secara berkesan, berbanding berfikir untuk menjadi pemerintah.

Apabila penerangan islam sudah berjaya dilakukan secara berkesan, pasti rakyat akan memahami Islam, yang mereka inilah yang akan bangkit untuk melakukan perubahan dalam kerajaan yang akhirya, Islam berjaya memerintah di Malaysia ini.

Ekoran dari itulah, seharusnya perlu difikirkan terlebih dahulu bagaimana mahu menjatuhkan UMNO/BN yang sedang memerintah kerajaan pusat. Apabila UMNO/BN sudah jatuh dari pemerintahan, maka sudah pasti segala penyelewengan media, SPR dan kehakiman akan dibaiki.

Selepas penyelewengan media, SPR dan kehakiman berjaya dipulihkan, menandakan kita sudah mempunyai ruang yang terlalu luas dalam memperkatakan islam, dan seterusnya rakyat memahami Islam, justeru Islam terus memerintah negara ekoran permintaan rakyat.

PENUTUP

Secara peribadi, aku menilai erdogan yang ditampalkan dengan negatif tidak seharusnya berlaku. Bahkan, sebelum natijah negatif yang mahu ditampalkan kepada beliau, seharusnya terlebih dahulu dilihat ”maqasid” disebalik tindakan beliau dalam bertindak sedemikian.

Padaku, tindakan erdogan ini mempunyai kesamaan ”maqasid” dalam usaha yang telah dilakukan Dr Burhanuddin Al-Helmi, cumanya mereka berdua berbeza dari sudut pentasnya sahaja.

Dan di Malaysia kini, tidak diketahui, siapakah yang berjaya membawa agenda yang pernah dilakukan oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi, juga dilakukan oleh Erdogan ini.

Secara peribadi, aku berpendapat, walaupun kita tidak mahu belajar dari erdogan pun, seharusnya kita perlu belajar dari Dr Burhanuddin Al-Helmi dalam mengharungi politik Malaysia, dalam usaha hendak mendaulatkan Islam di Malaysia secara berkesan.

Mungkin pemikiran ini tidak relevan di negeri-negeri orang islam ramai, seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi ianya perlu difikirkan secara serius bagi menghadapi negeri-negeri yang bilangan non Muslim yang hampir sama banyak dengan orang islam.

Sekian

Wallahu ’Alam

p/s : ini sekadar pandangan peribadi Al-Bakistani berdasarkan maklumat yang didapati sahaja.

Artikel asal di http://www.g-82.blogspot.com. Penulis jua boleh dihubungi di ustaz_bakistani@yahoo.com