CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

29 April 2009

Kisah PAS dalam Perikatan

Allahyarham Tun Razak Hussein mengajak Dato' Asri Muda supaya ditubuhkan kerajaan campuran pada awal 1970-an, ia dilakukan dalam kedudukan setaraf. Apa yang hendak ditubuhkan bukannya kerajaan campuran Umno-PAS tetapi Perikatan-PAS. Kedudukan PAS ketika itu bukanlah menerima kepimpinan Umno tetapi duduk bersama dan setaraf dengan Perikatan yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC. Ketika itu, Perikatan Sarawak dan Sabah adalah dalam hubungan yang berbeza.

Setelah berlaku Peristiwa 13 Mei, tentunya suasana telah berubah yang menuntut supaya parti-parti politik kurangkan politiking dan sebaliknya menumpukan kepada pembangunan. Juga dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu, PAS yang banyak berkempen atas isu-isu Melayu dalam pilihan raya umum tahun 1969 menerima pelawaan Tun Razak.

Dengan penubuhan kerajaan campuran, ia bermakna kerajaan negeri persekutuan, Kelantan, Terengganu dan Kedah menjadi kerajaan campuran Perikatan-PAS. Asri Muda menjadi menteri, Mustafa Ali menjadi timbalan menteri, sementara Adun Perikatan menjadi ahli Exco di Kelantan, begitulah jadinya.

Namun begitu, apabila persetujuan telah disampaikan, pengumuman untuknya ditangguhkan. Ini kerana jika diumumkan bahawa berlaku kerjasama Perikatan-PAS, maka akan timbul syak wasangka di kalangan orang bukan Melayu kalau-kalau ia merupakan penubuhan kerajaan Melayu bersatu, maka ia menjadi kerajaan Umno-PAS dengan meminggirkan parti-parti MCA dan MIC.

Justeru, rundingan dibuat dengan Gerakan di mana parti itu bersetuju menubuhkan kerajaan campuran Perikatan-Gerakan di Pulau Pinang. Setelah dipersetujui, pengumuman kerajaan campuran di Pulau Pinang didahulukan daripada Perikatan-PAS. Maka tidaklah timbul perasaan bahawa kerajaan Melayu bersatu akan ditubuhkan.

Cara berpolitik Tun Razak ketika itu ialah untuk mempelawa semua parti politik masuk ke dalam kerajaan. Maka turut diundang ialah DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). DAP menolak, mungkin antara lain kerana kejayaan dalam pilihan raya 1969 menunjukkan bahawa ia mempunyai potensi untuk menjadi pembangkang lebih kuat.

Kalau pada tahun 1964, cawangan PAP yang merupakan asal usul DAP gagal dalam pilihan raya, tetapi dalam pilihan raya umum tahun 1969, ia berjaya. Apa yang jelas ia sedang mengambil alih pengaruh yang ditinggalkan oleh Parti Buruh yang dibubarkan kerana tidak menghantar laporan tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Penolakan terhadap pelawaan Tun Razak itu mungkin merupakan sesuatu yang pelik. Ini kerana dalam tahun 1964, penyertaan PAP dalam pilihan raya umum adalah untuk menentang MCA, dan bukannya Umno. Ia berazam untuk menggantikan MCA dalam Perikatan. Apa yang berlaku ialah DAP menggantikan vakum yang ditinggalkan oleh Parti Buruh.

Undi milik Parti Buruh sudah berpecah tiga. Sebahagiannya pergi ke DAP, sebahagiannya ke Gerakan, dan sebahagiannya pergi ke PSRM yang gagal memberikan sebarang bekas. Selepas tahun 1964, PSRM dan Parti Buruh berpecah akibat isu bahasa, dan ia meruntuhkan pakatan mereka dalam Front Sosialis. Gerakan pula mewarisi Parti Demokratsi Bersatu (UDP) yang ditubuhkan oleh mereka yang keluar daripada MCA.

PSRM enggan menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan kerana percaya adalah baik bagi negara, khususnya orang Melayu jika ia kekal sebagai pembangkang. Dengan penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran Perikatan, maka orang Melayu perlukan parti pembangkang dan ini ditawarkan oleh PSRM.

Sememangnya aliran pemikiran Tun Razak ketika itu ialah penubuhan kerajaan satu parti, suatu pemikiran sosialis dunia ketiga pada zaman itu, untuk mendapatkan kestabilan politik. Malah kepercayaan ini turut digalakkan dalam akhbar-akhbar arus perdana ketika itu. Pada mula ia ditubuhkan, Barisan Nasional mempunyai komponen yang setaraf.

Bagaimanapun lambat laun, Umno mula mahu menunjukkan taring dan menjadi dominan. Perangai Umno ini tidak perlu dihairankan. Barisan Nasional telah berubah menjadi konsep barisan bersatu yang diamalkan oleh banyak parti komunis dunia. Pada mulanya mereka mengajak parti-parti lain supaya bergabung menentang musuh bersama. Tetapi setelah berjaya, yang dominan adalah parti komunis sementara yang lain hanyalah tinggal simbolik. Gejala ini berlaku di Rusia, China, Korea dan Vietnam.

Usaha Umno menjadi dominan bermula apabila ia terlibat meminggirkan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) untuk digantikan dengan Parti Berjaya. Perkara yang sama juga berlaku di Kelantan. Umno campur tangan dalam hal dalaman PAS. Akhirnya PAS dipinggirkan dan digantikan dengan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa).

Lihatlah, nama Berjasa adalah hampir sama dengan Berjaya. Setelah memecat PAS dan digantikan dengan Berjasa, maka rakyat tersedar bahawa Kelantan sudah dikuasai oleh Umno. Siapakah Ketua Pemuda Berjasa ketika itu? Ia adalah Ibrahim Ali.

Sistem dua parti

Jadi katakan anak Tun Razak, Najib mahu melakukan kaedah yang serupa. Cuma bezanya pada zaman ini pemikiran satu parti sudah tidak popular. Dunia komunis dan satu parti sudah tumbang. Banyak negara beralih ke aliran sistem dua parti. Maka dalam konteks Malaysia, sistem yang patut dituruti ialah Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sebagai dua parti utama dalam sistem ini.

Tetapi katakan Najib mempelawa PAS menyaertai Barisan Nasional. Ia bermakna PAS akan duduk di bawah Umno. Tentu PAS tidak mahu. Tetapi katakan dicadangkan supaya diadakan kerajaan campuran Barisan Nasional-PAS. Adakah PAS bersedia? Kalau dahulu, PAS hanya memerintah sendiri di Kelantan, maka mudahlah ia berkira-kira.

Tetapi kini kemenangan PAS di banyak kawasan pilihan raya, khususnya kerajaan negeri Kedah adalah bergantung kepada penyokong parti komponen Pakatan Rakyat lainnya, bukan saja KeADILan, malah DAP. Jika PAS menerima pelawaan Barisan Nasional, maka Pakatan Rakyat akan tumbang, baik di Kedah mahupun di Selangor.

Bukan itu saja, PAS akan berpecah dengan sebahagiannya tidak mahu menyertai kerajaan campuran Barisan Nasional. Dengan perpecahannya, PAS jadi lemah. Pada tahun 1974 apabila PAS menyertai Barisan Nasional, sebahagian ahlinya turut keluar parti, yang lain pula menubuhkan parti baru bernama Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA).

Di pihak Gerakan pula, penyertaannya ke dalam Barisan Nasional, menyebabkan sebahagian ahlinya keluar parti. Mereka menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Tetapi dalam pilihan raya tahun 1974, Barisan Nasional menang besar.

KITA, Pekemas, PSRM dan DAP kecundang.

Namun begitu kemenangan Barisan Nasional itu menyemai bibit-bibit kelemahan kepada parti komponennya khususnya PAS, Gerakan dan Parti Progresif rakyat (PPP). Ketiga-tiga parti ini tidak boleh berdiri sendiri setelah memasuki Barisan Nasional. Itulah yang berlaku dalam pilihan raya umum tahun 1978, 1082 dan 1986 apabila PAS berterusan kalah.

Andai kata Najib hendak mengajak PAS, beliau mungkin mengikut jejak bapanya dengan turut mempelawa parti-parti lain iaitu KeADILan dan juga DAP. DAP mungkin tidak ikut serta tetapi KeADILan mungkin berpecah. Maka katakan PAS dan KeADILan terima pelawaan Barisan Nasional, maka Pakatan Rakyat akan lemah. Ia tetap ada dengan serpihan PAS dan KeADILan yang enggan ikut serta.

Maka Umno akan dapat teruskan pentadbiran seperti biasa dengan sedikit transformasi. Pada waktu lain apabila kekuatan sudah dipulihkan, maka PAS dan KeADILan yang dalam Barisan Nasional akan disingkirkan. Tetapi pada masa akan datang zaman sudah berubah. Rakyat tidak akan terikat ada mana-mana parti politik. Apa yang dituntut ialah penyelesaian isu-isu yang tertunggak saban pilihan raya.