Di sebalik LCCT Labu: Sime Darby bohong atau Najib bohong?
KUALA LUMPUR, 26 Jan (Hrkh) - Pentadbiran ekonomi negara kini lintang pukang berikutan pelbagai kenyataan bercanggah yang dibuat oleh pemimpin kerajaan dan para pegawai yang terlibat, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar. Iklan
"Contohnya, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Sime Darby menyatakan cadangan pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Labu telah mendapat lampu hijau daripada kerajaan sedangkan (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) pula menyatakan kerajaan belum membuat sebarang keputusan tentang status pembinaan LCCT itu," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan kenyataan siapakah yang benar dan boleh dipegang oleh rakyat.
"Siapa yang berbohong? Sime Darby atau Najib?" beliau mempersoalkan.
Beliau menggesa Sime Darby mengemukakan dokumen yang berkaitan dengan dakwaannya itu.
"Sime Darby dan Air Asia yang akan memanfaatkan LCCT Labu, jika ia disiapkan nanti, bertanggungjawab kepada rakyat untuk mengemukakan dokumen yang membuktikan bahawa kerajaan telah memberi lampu hijau untuk pembinaan tersebut," katanya.
Jika dokumen tersebut gagal dikemukakan dan jika betul belum ada sebarang keputusan seperti yang dinyatakan oleh Najib, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Sime Darby semuanya mesti meletakkan jawatan berikutan kenyataan bohong atas nama Sime Darby itu.
"(Tun) Musa Hitam adalah orang yang pertama mesti meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby. Mereka semua bertanggungjawab atas pembohongan Sime Darby itu," tegas beliau.
Sime Darby, katanya, adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Sebab itu mesti meletakkan jawatan. Pembohongan GLC memalukan negara kerana ia memberi gambaran tahap akauntabiliti dan kebolehpercayaan yang begitu rendah dalam sektor ekonomi dan perniagaan dalam negara ini.
"Kalau GLC pun berbohong, tindakan itu pasti menakutkan pelabur untuk melabur dalam negara ini. Berbohong pula kepada Bursa Malaysia.
"Kalau GLC boleh berbohong kepada Bursa Malaysia dan Suruhanja Sekuriti pula tidak bertindak segera, ia pasti menjadikan tahap kebolehpercayaan terhadap sektor ekonomi dan perniagaan negara ini di kalangan para pelabur jatuh merudum," katanya.
Antara pemegang saham dalam Sime Darby ialah Skim Amanah Saham Bumiputera, Permodalan Nasional Berhad, Felda, Amanah Saham Wawasan 2020, Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Sekim Amanah Saham Nasional, Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) dan Yayasan Pelaburan Bumiputera.
Bagaimanapun, katanya, jika Sime Darby tidak berbohong, ia membuktikan Najiblah yang sebenarnya berbohong.
"Semua pihak tahu, cadangan pembinaan LCCT Labu itu mendapat bantahan banyak pihak. Jika Najib berbohong untuk meredakan bantahan umum dan mendakwa kerajaan beliau membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, beliau mesti meletak jawatan," tegas Mahfuz.
Pembohong, katanya, tidak boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan jauh lagi Perdana Menteri.
"Ketika rakyat Kuala Terengganu memberikan undi tidak percaya kepada beliau yang memimpin kempen Barisan Nasional (BN) di situ dan selepas itu jika Najib berbohong pula untuk melindungi keputusan salah kerajaan yang turut dipimpinnya, beliau tidak ada sebab lagi untuk tidak meletak jawatan.
"Negara ini tidak mampu lagi menghadapi penganiayaan demi penganiayaan pemimpin pembohong. Jika Najib berbohong, beliau mesti berundur!" tegas Mahfuz.
24 Januari 2009
LCCT Labu: Sime Darby bohong atau Najib bohong?
Posted by hamba-ALLAH at 2:41 PTG
Labels: Kerajaan BN