CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

17 Jun 2009

Kisah-kisah pelik tapi benar PKFZ

PKFZ dan kisah-kisah pelik tapi benar
Shirzad Lifeboat
Tue | Jun 16, 09 | 10:43:43 am MYT
Sukar untuk difikirkan bagaimana perbelanjaan modal (capital expenditure) yang asalnya dibajetkan untuk RM2 bilion akhirnya berpotensi melonjak ke paras melepasi paras RM12 bilion. Memang pelik. Tapi itulah yang bakal berlaku ke atas Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), sebuah agensi kerajaan Persekutuan di kuasai Umno-BN akibat penglibatannya secara langsung dalam pembangunan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Iklan



Dan oleh kerana LPK adalah sebuah agensi kerajaan Persekutuan, maka segala lialibitinya sudah tentu akan ditanggung oleh kerajaan lalu justeru tidak mustahil wang sebanyak RM12 bilion ini juga akan dibayar oleh Kumpulan Wang Yang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini nampaknya belum terdengar lagi ura-ura penebusan (bail-out) PKFZ akan dilakukan oleh sebuah GLC yang kaya dengan dana tunai, sebagaimana yang dilakukan oleh Petronas terhadap beberapa syarikat penuh milik kerajaan, seperti Bank Bumiputera (M) Bhd misalnya, sekadar menamakan satu contoh klasik.

Tidak juga kedengaran sebarang cadangan agar penebusan mungkin dilakukan dengan menggunakan dana agensi lain kerajaan yang juga kaya dengan dana tunai seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Mungkin kedua-dua cara penyelamatan dan penebusan ini tidak dapat dilakukan melainkan undang-undang agensi berkenaan dipinda bagi turut membolehkannya menebus kembali sebuah badan berkanun kerajaan kerana sejauh ini penebusan yang dilakukan terdahulu adalah antara badan berkanun atau syarikat milik kerajaan terhadap syarikat milik kerajaan yang lain dan bukannya antara syarikat milik kerajaan atau badan berkanun kerajaan ke atas badan berkanun kerajaan yang lain.

Namun tidak mustahil kerajaan Umno-BN akan meminda undang-undang bagi membolehkan penebusan serupa itu dilakukan memandangkan rekod parti berkenaan yang meminda atau menggubal undang-undang berdasarkan kepentingan parti dan tidak semestinya bertolak kepada kepentingan awam dan negara.

Sisihan atau 'deviation' RM10 bilion (RM12 bilion ? RM2 bilion) dalam penyediaan bajet projek PKFZ sudah tentulah sukar difahami, malah oleh akauntan terhandal di atas planet Bumi sekalipun. Ia mewakili ralat 600%. Dalam penyediaan bajet sesuatu projek sisihan melebihi 10% sudah dikira amat buruk.

Dari segi anggaran wang tunai projek pula, sekiranya RM2 bilion itu adalah anggaran asal dan angka sebenar ialah RM12 dalam masa 10 tahun (walaupun PKFZ sebenarnya belum lagi berusia 10 tahun dari mula kos awalan dilakukan sehingga kos jangkaan memuncak ke paras RM12 bilion pada tahun 2012 kelak), ia bermakna faktor diskaun mata wang atau dalam bahasa harian susutan nilai ringgit melebihi 500%.

Maknanya pada tahun pertama projek sekiranya RM1 masih dianggap bernilai RM1 maka untuk tujuan anggaran penyata wang tunai projek PKFZ, maka nilai RM1 itu hanya bernilai lima sen sahaja pada tahun 2012.

Memang pelik tapi benar. Itulah gambaran di sebalik kos yang melambung naik daripada RM2 bilion ke RM12 bilion dalam membiayai pembangunan PKFZ.

Sebaik sahaja laporan yang disedikan oleh firma perakaunan Pricewaterhouse Coopers (PwC) dikeluarkan untuk tatapan awam yang turut mengkaitkan percanggahan kepentingan melibatkan pemimpin BN, sudah ada nada-nada yang mempertikaikan laporan berkenaan kerana kononnya ia bersifat memudaratkan pihak tertentu.

Antara paling awal yang mengeluarkan kenyataan kemungkinan menyaman PwC adalah Kuala Dimensi Sdn Bhd, syarikat pemaju projek PKFZ tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Wijaya Baru Global Berhad, sebuah lagi syarikat yang dalam laporan tersebut, Dato' Faizal Abdullah pula, berkata PwC membuat komen bersifat nakal mengenai peranan KDSB dalam projek PKFZ.

Faizal dipetik sebagai berkata, "Laporan PwC yang banyak menggunakan perkataan bersifat andaian seperti 'mungkin', 'difahamkan' dan 'ada kebarangkalian' menunjukkan seolah-olah ada unsur penipuan dalam urusan pembelian tanah antara KDSB dan Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad (KPPLB)?. Ini bukan saja menjejaskan projek PKFZ yang kini dijauhi pelabur, malah perniagaan lain WBGB terkena tempias dan terjejas akibat kemelut ini?"

Terdapat juga syarikat yang turut sama disebut dalam laporan ini yang dikatakan sedang mengkaji untuk menyaman PwC atas dasar tanggungan atau liabiliti pihak ketiga.

Bagaimanapun, setakat ini adalah kurang jelas sama ada tindakan sedemikian boleh diambil terhadap PwC yang telah diberikan 'indemnity' atau perlepasan tanggungan daripada semua tuntutan.

Walaupun juruaudit/firma juruaudit bertauliah tertakluk kepada tanggungan pihak ketika namun dalam kes penyiasatan/penyediaan laporan perihal perjalanan projek PKFZ ia sudah tentu dilakukan menurut peruntukan Piawaian Pengauditan Antarabangsa yang dikeluarkan oleh International Federation of Accountants dan juga International Auditing and Assurance Boards serta Akta Syarikat 1965 yang memberikan juruaudit/firma audit kebebasan menjalankan tugas mereka.

Ramai yang berpendapat tanggungan pihak ketiga hanyalah terpakai apabila laporan yang dibuat oleh firma audit terbukti palsu dan memberikan gambaran positif kepada mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesebuah entiti perniagaan sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Dalam lain perkataan, firma audit telah menipu pemegang saham, bank pemberi pinjam dan sebagainya sebagaimana yang terjadi kepada firma pengauditan Arthur Anderson yang telah tidak memberikan laporan tepat mengenai kedudukan sebenar Enron Corporation, sebuah syarikat tenaga Amerika Syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500.

Malah tanggungan pihak ketiga yang cuba dikemukakan oleh pihak yang turut disebut dalam laporan PwC itu juga dikatakan tidak sama sebagaimana kes Hedley Byrne & Co Ltd v Heller & Partners Ltd [1964] (United Kingdom) di mana juruaudit membuat laporan tidak tepat mengenai syarikat pengiklanan Hedley Byrne sehingga ia mengalami kerugian 17,000 pound sterling.

Sebenarnya apakah motif pihak-pihak tertentu yang turut disebut dalam laporan berkenaan mahu menyaman PwC. Sekiranya mereka berada di pihak yang benar dan tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti, maka mereka tidak perlu berbuat demikian.

Lagipun kes ini sudah pun dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan mungkin laporan polis mengenainya akan dibuat memandangkan kemungkinan terdapatnya elemen jenayah dalam urusniaga tertentu projek ini.

Dengan menganggap kedua-dua badan ini akan menjalankan penyiasatan dan memberkas dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan, maka mereka yang merasakan yakin berada di pihak benar dan tidak ada-ada apa yang perlu disembunyikan dan tidak menerima sebarang keuntungan peribadi yang tidak sepatutnya tidak perlu merasa bimbang atau perlu mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah tunggu dan lihat dan tidak ada sesiapa yang perlu takut kepada bayang-bayang. Mungkin mereka yang menjadi petualang kepada kemelut membabitkan wang awam ini tidak menyangka segala kemungkaran ini akan terbongkar juga. Tetapi itulah, pelik tetapi benar bahawa kemungkaran ibarat bangkai yang lambat laun akan mengeluarkan bau busuk juga. - lanh _