Di sebalik kekalahan BN kepada PAS dalam Pilihanraya kecil P036- Parlimen Kuala Terengganu , adakah ia bermakna pengundi masih marah kepada BN ? Mari kita lihat akhbar-akhbar arus perdana beberapa hari sebelum hari pengundian.
PADA hari Jumaat, 16 Januari, akhbar arus perdana Berita Harian menyiarkan tajuk berita berbunyi “Harapan BN Cerah” dan meramalkan parti kerajaan pusat itu akan mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Akhbar kembarnya, New Straits Times pula berkata : “Barisan Upbeat, Pas Edgy” (Barisan Yakin, Pas Gementar).
BH menokok tambah dengan menyiarkan temu ramah dengan Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak di mana Timbalan Presiden Umno itu menyangkal persamaan antara Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.
Utusan Malaysia pula memilih tajuk berita yang lebih neutral berbunyi “Jangan Terpengaruh Serangan Peribadi” dan semalam (17 Januari) menyiarkan tajuk ringkas “Siapa Pilihan Pengundi?”
Ternyata sekali BH dan NST membuat ramalan yang songsang sama ada kerana maklumat dan perisikannya tidak tepat atau kerana mahu menjaga hati pihak-pihak tertentu.
Seperti umum sudah maklum BN gagal mempertahankan Kuala Terengganu malah telah kalah dengan teruk.
Calonnya, Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Abdul Wahid Endut dengan 2,631 undi. Dia memperoleh 30,252 undi berbanding Abdul Wahid yang memperoleh 32,883 undi.
Pengundi Kuala Terengganu nampaknya tidak termakan janji melangit yang dibuat oleh Umno dan BN malahan ahli dan penyokong Umno sendiri nampaknya masih marah dan menyimpan dendam terhadap kepemimpinan parti mereka.
Kekalahan ini pastinyalah memberi kesan yang besar kepada BN dan Umno, khasnya kepada Mohd Najib yang menjadi kepala perang Umno dan BN walaupun beliau berkata kekalahan itu tidak bermakna pengundi menolak BN dan memberi undi tidak percaya kepadanya.
Kekalahan ini sedikit sebanyak membayangkan yang pengundi Kuala Terengganu belum bersedia untuk memberi “endorsement” kepada beliau atau kepada proses pemulihan Umno dan BN yang diuar-uarkan itu.
Bagi Umno dan BN, kegagalan mempertahankan Kuala Terengganu memberi gambaran bahawa penolakan terhadapnya semakin meluas sejak pilihan raya umum Mac lalu.
Ini tentunya akan menyukarkan lagi kedudukan Mohd Najib apabila beliau mengambil alih pemerintahan negara Mac ini.
Tetapi seandainya beliau faham sentimen pengundi dan bersedia membuat perubahan yang drastik ke atas Umno, BN dan kerajaan selepas mengambil alih pemerintahan beliau mungkin dapat meredakan kemarahan pengundi khasnya dan rakyat jelata amnya.
Kekalahan di Kuala Terengganu adalah sumpahan dan bala yang sangat besar kepada Umno dan BN kerana ia adalah kerusi BN dan terletak di dalam negeri yang memberi sokongan yang sangat kuat kepada BN pada pilihan raya umum Mac lalu.
Gagal menakluki semula Permatang Pauh Ogos lalu tidak teruk kerana ia kubu Anwar Ibrahim dan terletak di dalam negeri yang menolak BN pada pilihan raya umum lalu.
Sekiranya Umno dan BN gagal memahami sebab musabab kekalahannya di Kuala Terengganu dan mengambil tindakan mengatasi kesilapannya, tragedi yang sama akan menimpanya pada pilihan raya kecil yang lain dan, yang lebih mendesak, pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak lama lagi.
Jelas daripada keputusan Kuala Terengganu bahawa pemilihan calon dan penanganan isu tempatan adalah kunci kejayaan dalam pilihan raya kecil.
Nyata andaian umum mengenai ketidaksuaian calon BN tetap apabila dia bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu sebaliknya kalah dengan teruk.
Janji pembangunan, penaburan wang dan kempen yang keterlaluan menyebabkan ramai pemilih berasa jijik. Begitu juga dengan peranan media massa arus perdana yang tidak berpijak kepada realiti apabila membuat laporan dan analisis menyokong Umno dan BN.
Boleh jadi juga pengundi masih belum puas hati dengan perubahan yang berlaku di Umno dan BN maka mereka terus menghukum Umno dan BN walaupun Abdullah sudah berjanji akan mengundurkan diri dan menyerahkan jawatan kepada Mohd Najib Mac ini.
Mungkin juga kaedah kempen “carpet bombing” oleh Umno dan BN, dan pergantungannya kepada jentera kerajaan, media massa arus perdana dan orang luar tidak lagi berkesan malah memualkan pemilih.
Kemenangan calon Pas membuktikan yang parti itu serta rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyatnya semakin kuat dan diyakini walaupun wujud perbezaan yang besar antara Pas dan DAP.
Apa pun, semua pihak wajib menerima pilihan yang dibuat oleh pengundi Kuala Terengganu itu.
Oleh A Kadir Jasin
19 Januari 2009
Pengundi Masih Marah Kepada BN ?
Posted by hamba-ALLAH at 11:55 PG
Labels: Kerajaan BN, PAS, Pilihanraya, Terengganu
10 Januari 2009
Kredibiliti Wan Farid gusarkan Najib Razak
Di sebalik jentera pilihan raya mahupun rata-rata pengundi tidak kira dipihak PAS atau Umno/BN menyebut peri pentingnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu bagi kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dalam menentukan hala tuju pilihan raya umum (PRU) yang ke 13 nanti.
Seperti kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali "jika BN kalah dan InsyaAllah BN akan kalah, yang paling terkesan adalah 'Prime Minister in waiting' (Perdana Menteri akan datang) Dato' Seri Najib Razak yang mengetuai kempen BN'.
Beberapa sumber dalaman Umno turut menyatakan sedemikian rupa memandangkan pilihan raya ini menemukan calon PAS yang amat dikenali ramai, Mohd Abdul Wahid Endut dengan calon BN, Dato' Wan Farid Wan Salleh.
Wan Farid disebut sebagai orang pilihan Abdullah, sedangkan Pengarah Pilihan Raya BN kali ini ialah Najib Razak yang dipercayai berada dalam keadaan gusar setelah Presiden Umno memandatkan Wan Farid sebagai calon.
Kredibiliti Wan Farid di sini sering dipertikaikan, memandangkan beliau dikatakan seorang yang 'elit' dan sebagai seorang Ketua Bahagian Kuala Terengganu dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Wan Farid sukar ditemui di khalayak ramai.
Cuma wajahnya tersiar di dada-dada akhbar sejak beberap hari lalu akibat rutin yang perlu dilalui oleh seorang calon pilihan raya untuk berkempen, kata seorang pengundi, Mamat Ngah yang duduk di Kampung Permint Jaya.
Kelibat Wan Farid jarang sekali dilihat termasuk dalam acara-acara yang melibatkan rakyat kebanyakan, dan kedudukan beliau selaku 'orang elit' menjarakkan hubungan masyarakat dengannya, malah di kalangan penyokong Umno sendiri pun adan yang rimas dengan Wan Farid.
Sebagaimana kata Mustafa Ali, keputusan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan memberi kesan yang besar kepada pilihan raya umum yang ke 13 akan datang.
Namun umum mempercayaiPRK kali ini paling perit bagi Najib jika beliau berhadapan dengan kekalahan, memandangkan ini tugasan pertama beliau sebelum diterima sebagai Presiden Umno pada Mac ini.
Trend pengundi mutakhir ini pula menunjukkan kebangkitan rakyat sedang berlaku dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan India ekoran daripada kelemahan kerajaan BN dan parti-parti komponennya yang sedang mengalami perpecahan dalaman.
Petanda kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di PRK Kuala Terengganu akan memberi kekuatan baru kepada rakyat seluruhnya, dan ia sebagai satu pengalaman perit kepada Najib sebelum menggapai tampuk pemerintahan dari tangan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seperti kata Mustafa Ali bahawa kemenangan Pakatan Rakyat akan mengubah senario politik Negara secara total.
Namun, dalam perasaan itu beliau sesekali mengingatkan jentera pilihan raya PAS dan Pakatan Rakyat agar tidak memikirkan faktor calon BN sebagai landasan, sebaliknya kerja keras mesti ditunjukkan untuk mencapai kemenangan.
Begitupun perpecahan yang berlaku dalam Umno/BN kerana pemilihan Wan Farid yang ada campur tangan 'orang tingkat 4' ini, jentera PAS tidak boleh tidak memikirkan soal kehadiran polis dan isu manipulasi undi pos saat-saat akhir menjelang pengundian.
Hal ini pernah ditegaskan Jurucakap Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa bahawa betapa BN pada pilihan raya lalu menang kerana manipulasi undi pos, politik wang dan manipulasi jentera kerajaan termasuk polis dan penerangan.
Jika di ukur dek kemampuan, sudah tentunya faktor ini boleh menjahanamkan usaha PAS, namun paling Umno/BN tidak tertanding kelebihan PAS ialah, calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut selaku 'old timer' wakil rakyat yang menang bagi lima penggal berturut-turut di Dun Wakaf Mempelam.
Khidmat dan jasa bakti Wahid mendapat kepercayaan rakyat dan pengundi Wakaf Mempelam sejak 18 tahun lalu, dan kesederhanaan Wahid selaku wakil rakyat yang berkhidmat sedikit sebanyak perlu difikirkan pengundi di kawasan lain sebagai 'guide' memilih wakil rakyat.
Kini semuanya terserah kepada pengundi, samada mahu menguburkan hajat Wan Farid untukl terus menjadi Timbalan Menteri KDN (tawaran jika menang Parlimen Kuala terengganu) sambil memalukan Najib yang penuh skandal.
Atau rakyat mahukan wakil rakyat yang benar-benar menepati hasrat rakyat selaku penunjuk jalan dan pembimbing rakyat.
Artikel asal di www.harakahdaily.net
Posted by hamba-ALLAH at 11:33 PG
Labels: Pilihanraya, Terengganu
07 Januari 2009
Siapa Azharudin Mamat @ Adam ?
Di sebalik penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, ia menerima kejutan kedua pada hari penamaan calonnya, 6 Januari, apabila seorang lelaki yang tidak memasuki senarai yang disebut-sebut bakal bertanding, muncul menyerahkan borang pencalonan di atas tiket Bebas. Iklan
Azharudin Mamat @ Adam disahkan layak bertanding, sekali gus menjadikan pertarungan merebut kerusi parlimen berkenaan, 17 Januari nanti, suatu pertarungan tiga penjuru.
Dua lagi calon yang turut disahkan layak bertanding ialah Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh mewakili parti Barisan Nasional dan Mohd Abdul Wahid Endut mewakili PAS.
Kejutan pertama
Pada 1 Januari lalu Mohd Abdul Wahid memberikan kejutan pertama apabila diisytiharkan sebagai calon PAS. Sebelum itu umum bagaikan sudah hampir pasti bahawa calon bakal dipilih PAS adalah daripada tiga tokoh yang disebut-sebut berada pada senarai pendek terakhir parti itu.
Tiga tokoh dimaksudkan ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong; dan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Mustafa Ali.
Pemilihan Mohd Abdul Wahid yang di luar jangkaan semua pihak memang memeranjatkan. Media cetak dan elektronik yang beria-ia membuat ramalan mengenai bakal calon dipilih PAS bagaikan terpukul apabila nujum mereka tidak menjadi.
Di pihak BN pula, pemilihan Mohd Abdul Wahid sebagai calon tidak kurang menimbulkan kekalutan. Menurut sumber tertentu yang rapat dengan jentera BN, beberapa unit khas ditubuhkan parti itu untuk meneliti rekod peribadi bakal calon PAS mengakui terpaksa menukar 'kertas kerja' ekoran keputusan mengejutkan itu.
Dikatakan BN telah siap dengan maklumat terperinci mengenai ketiga-tiga tokoh Pas yang disebut-sebut sebagai bakal calon itu. Dipercayai parti itu telah mengatur persiapan rapi 'menyerang' mereka.
Berakhirnya teka-teki
Sementara teka-teki siapa bakal calon BN tamat sebaik nama Wan Ahmad Farid diumumkan pada 20 Disember, calon-calon yang dijangka bertanding selain dari BN dan PAS terus diperkatakan. Ketika itu beberapa nama disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon Bebas.
Seorang nenek berusia 89 tahun, Maimun Yusof, yang pernah memeranjatkan negara apabila menjadi calon tertua di Kuala Terengganu, Mac lalu, tidak menolak kemungkinan menyertai sekali lagi pilihan raya kecil ini. Beliau dilaporkan sedia menimbang berbuat demikian sekiranya ada pihak sudi membiayai penyertaannya.
Seorang peniaga dari Rantau Panjang, Isma Airfath Hassanudin, bagaimana pun menjadi orang pertama mengumumkan hasrat menyertai pertandingan kali ini. Beliau mendakwa menerima sokongan pelbagai pihak di Kuala Terengganu, terutama kenalan beliau dalam persatuan sosial dianggotainya. Bekas calon Bebas bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang, Mac lalu itu malah sanggup mencium tangan Tok Mun sebagai tanda memohon restu untuk bertanding.
Turut menghangatkan teka-teki jumlah calon ialah parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). Satu majlis pengumuman calonnya malah telah diadakan minggu lalu. Parti itu menamakan seorang pemimpin Akim Terengganu, Harun @ Abdul Rahman Mohamad sebagai bakal calonnya.
Tidak teruskan hasrat
Nama seorang usahawan muda berjaya dikenali sebagai 'Lan Futsal' juga pernah disebut bakal menjadi calon Bebas. Beliau bagaimana pun tidak meneruskan hasrat tersebut.
Sehingga ke malam sebelum tiba hari penamaan calon, teka-teki jumlah calon bakal bertanding masih melebihi empat orang. Apatah lagi pada malam itu media turut melaporkan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sebanyak 11 borang pencalonan telah dibeli beberapa pihak.
Kesudahannya, selain calon dua parti utama itu, tidak ada seorang pun di kalangan nama-nama itu yang muncul. Sebaliknya, yang muncul ialah Azharudin tidak langsung disebut namanya sebelum ini. Berpakaian baju labuh dan seluar 'singkat' serta mengenakan kopiah, sekali pandang orang sepintas lalu akan mengaitkan beliau dengan sebuah jamaah dakwah yang masyhur di negara kita.
Menurut sumber yang mendakwa mengenali beliau, Azharudin dikatakan anak kepada seorang orang kuat Umno di Dun Ladang, Kuala Terengganu. Bapanya malah pernah dilantik menerajui sebuah unit penting dalam kerajaan Terengganu pimpinan menteri besar sebelum ini.
Tidak dapat dipastikan apakah faktor utama yang mendorong Azharudin menyertai pilihan raya ini. Namun berdasarkan maklumat kerjayanya sebagai kontraktor dan dari kalangan penyokong Umno atau pendokong BN, ada cakap-cakap yang mengaitkan kemungkinan tindakannya itu dengan perasaan tidak puas hati terhadap tindak-tanduk bekas Adun Ladang, Dato' Wan Hisham Wan Salleh.
Sekadar makluman, bekas anggota Exco negeri itu adalah abang kandung kepada calon BN, Wan Ahmad Farid. _
Artikel asal di www.harakahdaily.net
Posted by hamba-ALLAH at 9:36 PG
Labels: PAS, Pilihanraya, Terengganu
06 Januari 2009
PRK P036-KT
Di sebalik Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu; Ahad lalu, kami sempat turun ke 'medan tempur' di Kuala Terengganu. Memang sekali imbas terasa bagai melewati zon perang. Anggota polis, secara rasmi, ditempatkan di kawasan pilihan raya kecil ini, seramai 6,000 orang. Angka tidak rasmi, menurut telahan seorang kawan, mungkin melebihi 10,000.
Malah, ada sumber memaklumkan jumlahnya mendekati 20,000. Agaknya dicampur dengan isteri kot? Di beberapa buah balai polis sekitar Kuala Terengganu, termasuk dekat Pantai Batu Burok, kem penempatan sementara rancak dalam pembinaan. Dari jauh khemah-khemah itu nampak memutih.
Pelik memikirkan, apa sebenarnya motif menempatkan begitu ramai anggota keselamatan di Kuala Terengganu? Taktik lapuknya adalah untuk melakukan provokasi kepada saingan BN, yakni PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, atau membentuk suasana persekitaran yang tegang bagi menakutkan pengundi, atau apa sahaja strategi polis yang bertindak pihak pilih bilik gerakan BN.
Apakah Kuala Terengganu kini merupakan kawasan paling tidak selamat di negara ini? Apakah kawasan-kawasan lain lebih terjamin keselamatannya sehingga pasukan polis dari luar Terengganu pun dikerah ke sana? Ketua Polis Negara tentu mempunyai justifikasi sendiri sebab beliau sendiri berada di sana.
Mudah cerita, kehadiran ketumbukan polis yang melimpah-ruah itu adalah sebahagian daripada strategi BN untuk memastikan undi tidak memihak PAS. Mungkin strategi itu boleh memakan dirinya, sepertimana banyak pendekatan songsang dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, tetapi bagi BN, Kuala Terengganu terlalu mahal untuk diserahkan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.Pilihan raya ini adalah penentu hidup-mati Umno-BN. Membayangkan kekalahannya sahaja sudah cukup menggerunkan.
Semasa minum pagi bersama Ustaz Abu Bakar Chik di sebuah gerai depan pejabat Utusan Terengganu, saya terbaca kenyataan Menteri Besar, Ahmad Said bahawa beliau yakin BN boleh menang dengan majoriti meningkat berkali ganda, sehingga 3,500 undi.
Ustaz Bakar mengingatkan saya agar tidak pandang enteng kenyataan MB itu. Beliau mengaitkan dengan kehadiran melimpah polis, yang boleh memungkinkan penyusupan pengundi hantu, bukan lagi yang dibawa dari luar, tetapi tidak mustahil ia keluar dari kem penempatan sementara polis tadi!
Saya tidak berhasrat mengulas panjang isu polis ini. Kempen baru berjalan. Segalanya terbuka untuk diteroka. Banyak perkara tertakluk dengan kerja kuat mendekati pengundi, berdasarkan strategi bersesuaian, sambil cuba mematahkan setiap gerak penipuan BN yang dibantu rapat pelbagai agensi rasmi pemerintah. Bagaimanapun, pastinya tiada sesiapa pun dalam Pakatan yang mudah mengalah. Banyak pilihan raya yang dilihat sukar dapat dikuasai parti alternatif.
Namun, saya pun hairan, kenapa tindak tanduk terkini UMNO seperti tidak mahu menang pilihanraya.
Sebelum ini, Najib mengadakan satu majlis besar-besaran untuk membayar hutang royalti 400 juta, hanya untuk membuktikan BN bertanggungjawab. Walhal, mereka sendiri yang menunjukkan bahawa mereka sebelum ini tidak begitu bertanggungjawab.
Pada majlis yang sama, Najib mengatakan kalau mahu menang, mesti sama-sama sokong siapa sahaja yang dipilih menjadi calon. Seolah-olah selama ini cukup sukar benar bagi UMNO untuk menyokong siapa sahaja yang dicalonkan, terutama sekali apabila yang dicalonkan itu bukan rakan pasukan.
Rakyat boleh tahu, di dalam PAS, semua ahli PAS sokong siapa sahaja yang dicalonkan, sejak dari dulu. Tidak perlu bercakap seperti Najib, seolah-olah satu-satunya cara untuk memang ialah sokong calon yang dipilih.
Kemudian, Wan Farid punya cakap banyak, persoalkan apa yang diperkatakan TG Nik Aziz. Ingatlah, pusing macam mana sekalipun rakyat lebih percaya TGNA berbanding Wan Farid.
Memetik kata-kata Norbisha, "calon pilihanraya kena macam pengantin. Macam mana tu? Duduk diam-diam. Senyum kepada semua orang. Dan, buat-buat malu. Kalau ada yang nak bergambar, senyum lebar sampai nampak gigi. Pengantin tak basuh pinggan. Pengantin tak hidang nasi. Pengantin tak atur kerusi. Pengantin ialah raja sehari.Apabila pengantin sendiri basuh pinggan, hidang nasi dan atur kerusi, saya nampak ada sesuatu yang tak kena..."
Fikir-fikirkan.
Artikel asal di www.Harakahdaily.net dan blog Hasbullah Pit
Posted by hamba-ALLAH at 3:15 PTG
Labels: Kerajaan BN, PAS, Pilihanraya, Terengganu
17 Disember 2008
Pulangkan~
Di sebalik menjelang Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu yang akan diadakan kira-kira sebualan saja lagi, Menteri Kewangan, merangkap Timbalan Presiden UMNO, Najib Razak tergesa-gesa berkunjung ke Terengganu dengan membawa bersamanya wang royalti berjumlah RM408.6 juta untuk dikembalikan kepada kerajaan Terengganu
[Baca : wang royalti minyak Kerajaan Terengganu telah mula dirampas oleh Kerajaan Pusat pada awal tahun 2000 hinggalah pertengahan tahun 2008 apabila Pas memerintah selepas PRU10].
Walaupun desakan demi desakan telah dibuat oleh rakyat Terengganu seawal tahun 2000 lagi, sehingga terpaksa mengheretnya ke mahkamah, namun Kerajaan Pusat tetap berdegil mempertahankan keputusannya enggan memberi secara terus wang royalti yang kemudian ditafsirkan oleh mereka sebagai 'wang ihsan' melalui projek-projek di bawah kroni mereka untuk membangunkan negeri. Persoalannya mengapa sekarang ini baru nak dipulangkan semula?
Sepatutnya Kerajaan Pusat wajar meminta maaf kepada seluruh rakyat Terengganu, bukannya tanpa segan dan silu serta malah berbangga membuat pengumuman kerana mereka telah melanggar perjanjian yang termaktub dengan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti minyak selama ini. Tahun 2000-2008. Bayangkanlah selama hampir 8 tahun, hak rakyat Terengganu dinafikan oleh Kerajaan Pusat (BN) dengan menukarkannya kepada Dana Khas Persekutuan, akibatnya kita telah mengalami kehilangan sejumlah lebih RM3 billion yang sehingga kini tidak dapat dikesan, hilang entah kemana!!!??
Kalaulah tidak kerana rampasan wang royalti (dianggarkan jumlah keseluruhannya RM6.2 billion selama tempoh 8 tahun), seluruh rakyat Terengganu sekurang-kurangnya telahpun melepasi tahap kemiskinan tegar sekaligus 'ranking' negeri paling miskin di Semenanjung Malaysia bukan lagi milik Terengganu. Malang sungguh nasib Rakyat Terengganu!
Malang seribu kali malang, setelah hak rakyat Terengganu dirampas oleh Kerajaan Pusat semenjak tahun 2000, pemulangan rampasannya pada hari ini turut disambut gembira oleh pemimpin UMNO dan BN Terengganu. Mereka yang merampas, mereka jugalah yang gembira apabila rampasan dikembalikan? Mengapa mereka yang beriya-iya menekan dan mendesak Kerajaan Pusat merampas wang royalti dahulu, jika mereka benar-benar mahu MEMBELA NASIB RAKYAT?
Dimana slogan Tradisi Membela Rakyat semasa mereka menekan dan mendesak supaya wang royalti tersebut dirampas sewaktu pemerintahan Barisan Alternatif pada tahun 1999 - 2004??? Betapa zalim dan kejamnya mereka terhadap rakyat Terengganu...
Sudah terang lagi bersuluh, maka tidak perlulah penulis huraikan, betapa rakyat Terengganu kini telah lama sedar dan dapat merasakan pemulangan wang royalti tersebut hanyalah sebagai UMPAN POLITIK, tidak ikhlas serta mempunyai motif tersembunyi yang mudah dibaca!
Justeru, penulis meminta agar wang royalti ini diuruskan Kerajaan Negeri Terengganu untuk manfaat rakyat yang telah sekian lama hauskan pembelaan, bukan sekadar pembangunan material tetapi juga kerohaniannya..
Janganlah pula ia terlepas dari mulut harimau, ke mulut buaya ia ditelan!..
Janganlah dipolitikkan wang rakyat kerana yang menjadi mangsanya adalah rakyat! Kembalikanlah wang tersebut kepada rakyat yang memerlukan!!! PULANGKAN~
Artikel asal di http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=429&mode=thread&order=0&thold=0
Posted by hamba-ALLAH at 4:21 PTG
Labels: minyak, Terengganu