CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

14 Mac 2009

Di Sebalik Kisah Pelupusan & Rebat Kereta Lama

Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR
irwan@majalahkereta.com.my


Jepun telah membuktikan polisi mengehad usia kenderaan dapat menyuntik sektor automotifnya. Adakah kita bersedia mengikut polisi yang sama?

DASAR automotif nasional telah menyaksikan harga kereta terpakai jatuh mendadak dan kesannya terpaksa ditanggung rakyat.

ISU mengenai rebat kenderaan berusia 15 tahun kembali kedengaran. Kali ini, ia diharap dapat menyuntik keadaan pasaran automotif yang lembap ekoran kegawatan ekonomi dunia yang melanda.

Dianggarkan lebih 1.5 juta kenderaan yang masih bergerak di jalan raya hari ini berusia lebih daripada 15 tahun. Jika jumlah itu diterjemahkan kepada peratusan kecil kenderaan yang diganti dengan kereta-kereta baru, secara langsung ia dapat mengukuhkan pasaran automotif yang diketahui menerima impak secara langsung akibat kesan ekonomi global tersebut.

Sebelum membuat sebarang perbandingan, kajian mahupun pelaksanaan, kita harus melihat dari sudut mekanisme dan praktiknya terlebih dahulu.

Adakah ia boleh dilaksanakan di Malaysia? Boleh, jika konsep asas dan skala model yang dicontohi dilaksanakan sepenuhnya. Ia akan gagal jika pelaksanaan tidak mengambil kira industri yang berkaitan dengan automotif itu sendiri.

Kita perlu melihat negara terawal yang melaksanakan polisi ini iaitu Jepun. Industri automotifnya adalah yang terbesar di dunia.

Ia bermula sebagai skala kecil domestik, dan sehingga hari ini kereta-kereta itu berjaya diedarkan di tiga per empat pasaran seluruh dunia.

Prinsip asas terhadap pelupusan di Jepun bermula dengan idea untuk memantapkan pasaran pengeluar automotif.

Kita harus melihat asasnya dahulu. Jepun adalah negara yang melaksanakan pembaharuan industri yang berkait rapat dengan syarikat berkaitan kerajaan.

Mitsui dan Mitsubishi adalah antara konglomerat yang terhasil daripada didikan kepentingan perniagaan oleh pemerintah yang akhirnya berjaya berdiri sendiri dengan persaingan yang lebih terbuka.

Teori asas pelupusan kenderaan secara umumnya adalah sangat mudah. Sebagai contoh, kita mengambil Jepun sebagai model praktik. Di sana, kereta yang berusia lima tahun atau lebih akan dilupuskan untuk memastikan orang sentiasa membeli model baru.

Industri automotif Jepun juga unik kerana klasifikasi JDM (Japan Domestic Model) yang secara khusus menepati piawaian yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan di negara itu.

Tiada isu cermin gelap, kerana ia memang dibenarkan (untuk cermin penumpang belakang), malah kereta-kereta JDM ini juga dipasangkan dengan penghad kelajuan yang dikawal kotak komputer kenderaan. Kelajuan 180 kilometer sejam (kmj) untuk kereta biasa, dan 140 kmj untuk kenderaan bersaiz K-Car (Kancil/Kenari/Kelisa).

Baik ia sebuah Lexus 430X atau Nissan GTR, sebaik kenderaan memecut melebihi 180 kmj, enjin akan mati secara automatik.

POLISI automotif di Jepun yang bijak dan praktikal membolehkan kenderaannya boleh dilupus selepas berusia lima tahun.

Banyak lagi ciri-ciri JDM tersebut, namun apa yang ingin kita lihat bagaimana pelaksanaan dasar pelupusan kenderaan Jepun amat berjaya.

Polisi itu dilaksana untuk membolehkan industri automotif mereka berdaya saing tanpa perlu pasaran luar. Jadi, pengeluar seperti Toyota, Honda, Mitsubishi, Subaru dan Mazda melambakkan pelbagai model di pasaran Jepun untuk dipilih pembelinya.

Bagi memastikan prinsip tempoh jangka hayat lima tahun tersebut praktikal (sebelum dilupuskan), ia dijual pada harga yang murah.

Malah, tiada negara di dunia ini menjual kereta semurah Jepun. Untuk memastikan kereta itu dibeli, kedudukan ekonomi individu dipertingkatkan terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, kereta seperti Honda Civic yang berharga RM113,800 di sini, hanya berharga separuh daripada harga itu di Jepun.

Dengan pendapatan perkapita antara yang tertinggi di dunia dan nilai mata wang yang kukuh, kereta tersebut hampir mampu dibeli oleh sesiapa sahaja. Daripada graduan universiti sehinggalah kepada pekerja restoran makanan segera.

Secara langsung, kereta akan lebih cepat dilupus dan digantikan. Industri automotif bergerak lebih pantas dengan situasi sebegini dan permintaan terhadap kereta-kereta baru sentiasa bertambah.

Polisi pelupusan kenderaan itu juga telah membentuk industri hiliran iaitu peralatan ganti kereta terpakai yang cukup untuk menyuntik berbilion dolar lagi terhadap ekonomi Jepun.

Dalam konteks Malaysia, ia sukar dilaksanakan kerana dasar asas terhadap sektor automotif yang rapuh. Malah, bukan sahaja di Malaysia, negara lain seperti Thailand dan Indonesia juga sukar untuk melaksanakan polisi seperti itu.

Dari segi jangka pendeknya, kita dapat melihat peluang pembeli melupuskan kereta dan mendapat rebat RM5,000 untuk kereta baru.

Rebat sebegini bagaimanapun hanya menggalakkan pembeli berhutang. Dari satu sudut, ia membantu sektor automotif menghadapi cabaran kegawatan ekonomi. Namun di sudut yang lain, akan menyebabkan orang menanggung beban hutang bulanan.

Manusia akan melihat secara zahirnya sebagai peluang. Jika dahulu, mereka berpuas hati menggunakan sebuah Nissan Sunny tahun 1988 tetapi dengan adanya polisi seperti ini, ia dilihat sebagai satu peluang untuk membeli kereta baru, sedangkan dalam keadaan ekonomi semasa, ia mungkin satu bebanan bulanan yang besar kepada pembeli.

Sektor yang paling teruk akan terjejas tentu sahaja peniaga kereta terpakai. Mereka yang selama ini menukar beli (trade-in) kereta-kereta lama terpaksa menanggung kerugian akibat polisi rebat ini.

Dasar yang hendak dilaksanakan juga perlu melihat dari banyak aspek. Asasnya mungkin mudah, pendapatan perkapita yang tidak berubah, tetapi kos kenaikan harga barang dan kereta sentiasa meningkat.

Ketidakseimbangan itu mewujudkan polisi yang tentunya tidak sekata. Tidak ada maknanya 10,000 buah kereta baru dijual sebulan dan pada bulan-bulan berikutnya, sebanyak 1,000 unit ditarik oleh bank kerana ketidakmampuan pembeli membayar bayaran bulanan.

Bayaran bulanan? Ya. Itu juga bersangkut-paut dengan perbincangan asas tadi. Polisi bank yang menawarkan pinjaman sembilan hingga 12 tahun hanya menyebabkan wujudnya 'peluang' untuk orang membuat hutang.

Jika dahulu, seorang pembeli hanya mampu membeli Proton Waja dengan tempoh hutang lima tahun, kini beliau mampu membeli Toyota Wish dengan bayaran bulanan yang sama.

KERAJAAN perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan sektor automotif tempatan dapat terus bernafas.

Namun, apa yang tidak disedari ramai ialah tempoh bayaran bulanannya berlanjutan hingga sembilan tahun.

Dasar negara lain yang hampir serupa ialah Singapura yang juga melupuskan kenderaan berusia lima tahun. Namun, ia memiliki perspektif yang amat berbeza. Singapura adalah asas di mana sebuah negara kecil mampu membendung kebanjiran kereta yang hanya menyesakkan lagi jalan raya di sana.

Jika polisi asas Jepun adalah untuk membantu industri automotifnya, Singapura pula bertujuan mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.

Polisi pemberian rebat RM5,000 pada kereta berusia 15 tahun bukanlah dasar yang negatif. Cuma ia perlu diperhalusi dari segenap aspek bagi memastikan tiada kesan langsung kepada mana-mana pihak sekali gus mencapai matlamat yang ditetapkan.