Oleh: Hishamuddin Rais
Harta kekayaan datang dari tenaga manusia. Harta Qaroon sekali pun ianya terkumpul dari hasil tenaga manusia. Kena loteri pun duitnya berpunca dari tenaga manusia yang telah di tipu. Justeru semua harta kekayaan didalam duna ini adalah hasil tenaga kerja manusia. Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.
Tulang empat kerat dan otak fikrah manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kejahatan dan kerosakan alam ini juga adalah hasil kerja tangan manusia.
Apabila manusia bekerja dia melaburkan tiga pekara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga pekara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Leterik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.
Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk - yang di miliki oleh sesiapa pun didalam dunia ini tidak dapat tidak berpunca dari tiga asas ini.
Pak Tani ke sawah – dia membanting tulang – menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, menarah pokok dan memilih buah.
Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa , tenaga dan fikiran.
Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat – di belakang semua kekayaan ialah jenayah. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya raya didalam dunia mendapat harta kekayaan hasil dari merompak – tenaga, masa dan fikiran orang lain.
Towkay atau Tok Peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya Tok Peraih membeli dengan harganya yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok Peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya ialah nilai lebihan hasil dari tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.
Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sahingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan - orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peloh Pak Tani. Si Pengilang, Si Pembungkus, Si Pengangkut, Si Pengiklan dan Si Peruncit – semua ini adalah orang tengah yang hidup kaya raya diatas titik peluh Pak Tani.
Orang-orang tengah ini berligar-ligar memusing-musing perniagaan untuk mendapat keuntungan maksima. Justeru – Pengilang beras jadi kaya, Pengedar beras jadi kaya atau Pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada diantara peniaga beras – di Bursa Saham Wall Street New York atau City of London - tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin ialah si Pak Tani. Ini lah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis dimana harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.
Mekanisma yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani ialah Pasaran atau Market. Ini sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini di kawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok Peraih, Si Pengedar, Si Pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksima. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.
Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh Orang Tengah atau Lintah Darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh Lintah Darah ini mereka memanggil diri mereka – Ahli Perniagaan, Usahawan, Pemaju, Pengimpot, Pengekpot atau Pengedar. Hakikatnya mereka hidup diatas usaha orang lain.
Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada Sang Kontrektor atau Sang Pemaju menjadi kaya raya. Ini bukan bermakna si Pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si Pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia kita mengimpot buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah.
Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si Buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si Pemaju. Si Pemaju sama seperti Tok Peraiah akan menilai masa, tenaga dan fikrah Buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si Pemaju. Justeru si Pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin – mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.
Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya adalah sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si Pemaju mendapat keuntungan yang maksima. Rumah atau bangunan yang di dirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu.
Justeru terbukti Si Kontrektor dan Pemaju jadi kaya raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang di gunakan lagi besar modal yang dapat di kumpulkan.
Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika, Canada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.
Dalam konteks ekonomi kapitalis global - semua negara-negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan. Hasil dari sistem ini warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini di nilai dengan rendah justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.
Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antrabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta. Warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika di taburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Ini bohong.
Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka.
Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dam memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh Tuan Empunya Modal atau Kilang. Sebagai buruh kilang kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.
Seperti Pak Tani di Kuala Muda Kedah hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana Tok Peraih Beras dan Tuan Punya Kilang Beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal pemodal antara bangsa di Bursa Saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mador yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berteruskan.
Di Malaysia mandor yang telah di pilih oleh kuasa pemodal Anglo-Amerika semenjak tahun 1957 ialah gerombolan United Malays National Organisation. Mana mungkin Tok Peraih dan Sang Pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi memberi mereka keuntungan maksima dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja. TT
Artikel asal di http://www.tukartiub.blogspot.com
25 Mac 2009
Memahami Kapitalisma
14 Mac 2009
Di Sebalik Kisah Pelupusan & Rebat Kereta Lama
Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR
irwan@majalahkereta.com.my
Jepun telah membuktikan polisi mengehad usia kenderaan dapat menyuntik sektor automotifnya. Adakah kita bersedia mengikut polisi yang sama?
DASAR automotif nasional telah menyaksikan harga kereta terpakai jatuh mendadak dan kesannya terpaksa ditanggung rakyat.
ISU mengenai rebat kenderaan berusia 15 tahun kembali kedengaran. Kali ini, ia diharap dapat menyuntik keadaan pasaran automotif yang lembap ekoran kegawatan ekonomi dunia yang melanda.
Dianggarkan lebih 1.5 juta kenderaan yang masih bergerak di jalan raya hari ini berusia lebih daripada 15 tahun. Jika jumlah itu diterjemahkan kepada peratusan kecil kenderaan yang diganti dengan kereta-kereta baru, secara langsung ia dapat mengukuhkan pasaran automotif yang diketahui menerima impak secara langsung akibat kesan ekonomi global tersebut.
Sebelum membuat sebarang perbandingan, kajian mahupun pelaksanaan, kita harus melihat dari sudut mekanisme dan praktiknya terlebih dahulu.
Adakah ia boleh dilaksanakan di Malaysia? Boleh, jika konsep asas dan skala model yang dicontohi dilaksanakan sepenuhnya. Ia akan gagal jika pelaksanaan tidak mengambil kira industri yang berkaitan dengan automotif itu sendiri.
Kita perlu melihat negara terawal yang melaksanakan polisi ini iaitu Jepun. Industri automotifnya adalah yang terbesar di dunia.
Ia bermula sebagai skala kecil domestik, dan sehingga hari ini kereta-kereta itu berjaya diedarkan di tiga per empat pasaran seluruh dunia.
Prinsip asas terhadap pelupusan di Jepun bermula dengan idea untuk memantapkan pasaran pengeluar automotif.
Kita harus melihat asasnya dahulu. Jepun adalah negara yang melaksanakan pembaharuan industri yang berkait rapat dengan syarikat berkaitan kerajaan.
Mitsui dan Mitsubishi adalah antara konglomerat yang terhasil daripada didikan kepentingan perniagaan oleh pemerintah yang akhirnya berjaya berdiri sendiri dengan persaingan yang lebih terbuka.
Teori asas pelupusan kenderaan secara umumnya adalah sangat mudah. Sebagai contoh, kita mengambil Jepun sebagai model praktik. Di sana, kereta yang berusia lima tahun atau lebih akan dilupuskan untuk memastikan orang sentiasa membeli model baru.
Industri automotif Jepun juga unik kerana klasifikasi JDM (Japan Domestic Model) yang secara khusus menepati piawaian yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan di negara itu.
Tiada isu cermin gelap, kerana ia memang dibenarkan (untuk cermin penumpang belakang), malah kereta-kereta JDM ini juga dipasangkan dengan penghad kelajuan yang dikawal kotak komputer kenderaan. Kelajuan 180 kilometer sejam (kmj) untuk kereta biasa, dan 140 kmj untuk kenderaan bersaiz K-Car (Kancil/Kenari/Kelisa).
Baik ia sebuah Lexus 430X atau Nissan GTR, sebaik kenderaan memecut melebihi 180 kmj, enjin akan mati secara automatik.
POLISI automotif di Jepun yang bijak dan praktikal membolehkan kenderaannya boleh dilupus selepas berusia lima tahun.
Banyak lagi ciri-ciri JDM tersebut, namun apa yang ingin kita lihat bagaimana pelaksanaan dasar pelupusan kenderaan Jepun amat berjaya.
Polisi itu dilaksana untuk membolehkan industri automotif mereka berdaya saing tanpa perlu pasaran luar. Jadi, pengeluar seperti Toyota, Honda, Mitsubishi, Subaru dan Mazda melambakkan pelbagai model di pasaran Jepun untuk dipilih pembelinya.
Bagi memastikan prinsip tempoh jangka hayat lima tahun tersebut praktikal (sebelum dilupuskan), ia dijual pada harga yang murah.
Malah, tiada negara di dunia ini menjual kereta semurah Jepun. Untuk memastikan kereta itu dibeli, kedudukan ekonomi individu dipertingkatkan terlebih dahulu.
Oleh yang demikian, kereta seperti Honda Civic yang berharga RM113,800 di sini, hanya berharga separuh daripada harga itu di Jepun.
Dengan pendapatan perkapita antara yang tertinggi di dunia dan nilai mata wang yang kukuh, kereta tersebut hampir mampu dibeli oleh sesiapa sahaja. Daripada graduan universiti sehinggalah kepada pekerja restoran makanan segera.
Secara langsung, kereta akan lebih cepat dilupus dan digantikan. Industri automotif bergerak lebih pantas dengan situasi sebegini dan permintaan terhadap kereta-kereta baru sentiasa bertambah.
Polisi pelupusan kenderaan itu juga telah membentuk industri hiliran iaitu peralatan ganti kereta terpakai yang cukup untuk menyuntik berbilion dolar lagi terhadap ekonomi Jepun.
Dalam konteks Malaysia, ia sukar dilaksanakan kerana dasar asas terhadap sektor automotif yang rapuh. Malah, bukan sahaja di Malaysia, negara lain seperti Thailand dan Indonesia juga sukar untuk melaksanakan polisi seperti itu.
Dari segi jangka pendeknya, kita dapat melihat peluang pembeli melupuskan kereta dan mendapat rebat RM5,000 untuk kereta baru.
Rebat sebegini bagaimanapun hanya menggalakkan pembeli berhutang. Dari satu sudut, ia membantu sektor automotif menghadapi cabaran kegawatan ekonomi. Namun di sudut yang lain, akan menyebabkan orang menanggung beban hutang bulanan.
Manusia akan melihat secara zahirnya sebagai peluang. Jika dahulu, mereka berpuas hati menggunakan sebuah Nissan Sunny tahun 1988 tetapi dengan adanya polisi seperti ini, ia dilihat sebagai satu peluang untuk membeli kereta baru, sedangkan dalam keadaan ekonomi semasa, ia mungkin satu bebanan bulanan yang besar kepada pembeli.
Sektor yang paling teruk akan terjejas tentu sahaja peniaga kereta terpakai. Mereka yang selama ini menukar beli (trade-in) kereta-kereta lama terpaksa menanggung kerugian akibat polisi rebat ini.
Dasar yang hendak dilaksanakan juga perlu melihat dari banyak aspek. Asasnya mungkin mudah, pendapatan perkapita yang tidak berubah, tetapi kos kenaikan harga barang dan kereta sentiasa meningkat.
Ketidakseimbangan itu mewujudkan polisi yang tentunya tidak sekata. Tidak ada maknanya 10,000 buah kereta baru dijual sebulan dan pada bulan-bulan berikutnya, sebanyak 1,000 unit ditarik oleh bank kerana ketidakmampuan pembeli membayar bayaran bulanan.
Bayaran bulanan? Ya. Itu juga bersangkut-paut dengan perbincangan asas tadi. Polisi bank yang menawarkan pinjaman sembilan hingga 12 tahun hanya menyebabkan wujudnya 'peluang' untuk orang membuat hutang.
Jika dahulu, seorang pembeli hanya mampu membeli Proton Waja dengan tempoh hutang lima tahun, kini beliau mampu membeli Toyota Wish dengan bayaran bulanan yang sama.
KERAJAAN perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan sektor automotif tempatan dapat terus bernafas.
Namun, apa yang tidak disedari ramai ialah tempoh bayaran bulanannya berlanjutan hingga sembilan tahun.
Dasar negara lain yang hampir serupa ialah Singapura yang juga melupuskan kenderaan berusia lima tahun. Namun, ia memiliki perspektif yang amat berbeza. Singapura adalah asas di mana sebuah negara kecil mampu membendung kebanjiran kereta yang hanya menyesakkan lagi jalan raya di sana.
Jika polisi asas Jepun adalah untuk membantu industri automotifnya, Singapura pula bertujuan mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.
Polisi pemberian rebat RM5,000 pada kereta berusia 15 tahun bukanlah dasar yang negatif. Cuma ia perlu diperhalusi dari segenap aspek bagi memastikan tiada kesan langsung kepada mana-mana pihak sekali gus mencapai matlamat yang ditetapkan.
05 Januari 2009
Kenapa kempen boikot US tidak berkesan?
Di sebalik kenapa sekian lama kempen boikot barangan Amerika dan Israel telah berjalan, namun ia kuran g berkesan.
Secara kebiasaannya, apabila orang membeli barangan Amerika, kita akan sangka dia mendapat keuntungan daripada itu. Kebiasaannya kita akan menyangka bahawa kita menyumbang duit kepada Amerika.Tetapi sebenarnya Amerika tidak memerlukan duit daripada jualan kepada pelanggannya untuk menguasai dunia.Duit yang dia mahu itu hanya ingin digunakan untuk dikitarkan semula supaya membeli bahan mentah daripada luar.
Kekuatan Amerika letaknya adalah dengan 'penjualan' matawang USDnya, bukan pada penjualan barangan keluaran negaranya. Apabila Amerika perlukan duit(USD) untuk membuat sesuatu, kongres bersidang dan penciptaan duit(USD) yang baru boleh diluluskan. Amerika tidak begitu risau akan inflasi matawangnya walaupun dicetak lebih, atau diwujudkan dalam bentuk kredit kerana permintaan terhadap Dollar sentiasa tetap ada.
Dalam erti kata lain, kekuatan ekonomi Amerika lebih bergantung kepada penjualan dollar berbanding dengan penjualan barangan keluarannya. Jadi untuk melumpuhkan Amerika, kita hendaklah tidak membeli dolar Amerika (USD).
'Tidak membeli USD' dalam perpektif lain ialah tidak menjual barangan dalam USD atau, tidak menerima USD ketika menjual barangan. Mungkin sukar untuk diterangkan kalau disebut dengan ayat di atas, jadi ayat ringkasnya ialah jangan jual barang kepada Amerika.
Kepada sesiapa yang tidak faham bagaimana Amerika menguasai dunia menggunakan dollar, perlu baca artikel berkaitan Petro-dollar atau baca catatan lama saya ini.
Jadi saya ringkaskan semula. Oleh kerana Amerika menguasai dunia dengan petrodollar, maka serangan ke atas Amerika adalah bermula dengan kata kunci ; Jangan Beli USD
- tidak menjual barangan dalam USD
- tidak menerima USD ketika menjual barang
- jangan jual barang kepada Amerika.
Jadi kepada sesiapa yang sudah faham, sila kemukakan idea-saranan ini untuk tidak menjual barangan kepada Amerika kepada sesiapa yang anda kenali di dunia ini supaya kekejaman di Gaza dapat dihentikan dengan cepat. ALLAHUAKBAR!
Artikel asal di http://hasbullah.pit.my/2009/01/boikot-amerika-bukan-sekadar-jangan.html
02 Januari 2009
Krisis kewangan sub-prima
Di sebalik ambang tahun baru, kita menyambutnya bersama krisis kewangan dunia yang kian mencengkam. Ada satu istilah yang sering disebut, 'KRISIS SUB-PRIMA'. Krisis sub prima berlaku apabila bank tidak lagi menggunakan sistem konvensional (riba jahiliyyah) yang biasa mereka gunakan selama ini. Kita panggilnya sebagai sistem konvensional tradisional.
Dalam sistem konvensional yang tradisional, apabila anda meminjam untuk membeli sebiji rumah, rumah itu adalah cagarannya. Bila anda gagal membayar ansuran rumah tersebut, bank akan tarik rumah anda dan rumah anda akan dilelong.
Masalah dalam sistem konvensional tradisional ini adalah, bank mempunyai had tertentu untuk memberikan pinjaman kerana pinjaman yang mereka boleh beri adalah bergantung kepada jumlah deposit yang mereka dapat.
Biasalah, orang bisnes selalu nak untung lebih. Dah untung 1 bilion mahu untung 10 bilion.
Jadi, institusi kewangan sebegini mencari jalan untuk mendapatkan sumber kewangan yang lebih untuk membolehkan mereka memberikan lebih banyak hutang dan seterusnya membuat lebih untung dengan riba’.
Akhirnya mereka berpakat sesama mereka untuk membentuk satu dana besar dimana mereka menjual cagaran-cagaran tersebut dalam pasaran hutang atau bond market.
Mortgage bond market ini setelah dipakejkan oleh bank-bank pelaburan (investment bank), pula dibeli oleh pelabur-pelabur seperti bank lain, syarikat insurans, pengurus dana pencen, saham amanah dan sebagainya.
Pelabur-pelabur ini yakin dengan bond-bond yang mereka beli kerana dalam pasaran bond ada rating agency yang memberikan gred-gred tertentu kepada bond-bond ini. Jadi, mereka ada keyakinan yang bond yang mereka beli itu nanti akan memberikan pulangan apabila tempohnya matang nanti.
Apabila bank mula mendapat wang tambahan dari dana baru ini untuk dipinjamkan, maka mereka juga mula memberikan hutang kepada individu-individu yang tidak layak untuk meminjam dalam keadaan biasa. Maka ia dipanggil pinjaman sub prima. Selain sub prima perumahan, ada juga sub prima kad kredit.
Di Amerika, dianggarkan 25% daripada penduduknya tidak layak meminjam dengan sistem konvensional tradisional.
Jumlah pinjaman sub prima ini pula pada Mac 2007 dianggarkan bernilai USD 1.3 trilion (RM 4.4 trilion)
Apabila institusi kewangan di Amerika mengamalkan pinjaman sebegini, dengan faktor kejatuhan pasaran hartanah di Amerika, akhirnya para peminjam ini mula gagal membayar hutang mereka.
Apabila peminjam-peminjam ini mula gagal membayar hutang, maka pelabur yang membeli bond-bond sub prima ini mula kerugian kerana keuntungan yang mereka jangka akan diperolehi tidak ada.
Apabila para pelabur kerugian, maka pasaran bond sub prima di Amerika pun mula bermasalah. Apabila bermasalah, bank mula tidak mendapat sumber baru untuk memberikan lebih banyak hutang. Apabila hutang baru tidak boleh diberikan, maka pembeli rumah tidak dapat menjual rumah mereka kerana pembeli baru tidak boleh berhutang dan seterusnya.
Para pelabur pasaran bond ini habis duit, untung yang dijanjikan kepada pelanggan (macam di Malaysia ni yang bayangkan KWSP, ASB, saham amanah, insurans dan sebagainya semua rugi) tiada.
Bank dan institusi kewangan habis duit, sebab orang yang gagal bayar hutang (defaulter) jauh lebih ramai dari yang berjaya bayar hutang habis. (Sedangkan dalam keadaan biasa, mereka perlu kawal jumlah defaulter biar tak terlalu ramai)
Spekulator / flipper dalam pasaran hartanah Amerika habis duit, sebab dah terbeli rumah pada harga tinggi, nilai rumah yang sebenar adalah rendah, dan rumah tersebut tidak dapat dijual dengan pelbagai sebab antaranya pembeli baru tidak dapat buat hutang dari bank. (Sebab tu adalah lebih baik melabur dalam pasaran hartanah kerana cashflow, dan bukan untuk jual balik dengan harga lebih tinggi semata-mata)
Itu belum campur dengan kerugian para pelabur yang melabur dalam syarikat-syarikat yang terjejas secara langsung dengan krisis krediti ini. Bayangkan kerugian para pelabur Lehman Brothers yang muflis dalam krisis ini.
Maka akhirnya ia membentuk satu chain reaction.
Dan chain reactionnya adalah sangat besar.
Inilah yang dinamakan krisis sub prima. Harapnya saya telah memudahkan anda untuk faham krisis ini tanpa terlalu banyak menggunakan istilah kewangan yang susah nak faham.
Moga anda yang membaca blog www.Pakdi.my ini akan lebih faham apakah krisis yang sedang berlaku hari ini.
20 Disember 2008
Perbezaan krisis kewangan 1997 dan 2009
Di sebalik persoalan kenapa krisis kewangan 1997 tidak sama dengan keadaan hari ini,
saya ada terbaca di blog-blog, yang mengatakan krisis kewangan 1997 adalah real 'economy recession'. Kemudian, mereka juga mempercayai, George Soros adalah satu-satunya manusia jahat yang cuba memusnahkan ekonomi Malaysia.
Sekiranya anda percaya kepada 2 perkara ini, saya fikir anda perlu membetulkan sedikit pemahaman anda. Saya juga sama seperti anda dahulu. Saya juga dahulu fikir krisis 1997 adalah 'real-economy-recession' dan George Soros adalah petualang utama. Jahat sungguh dia bukan?
Sebelum anda membaca post ini dengan lebih lanjut, saya sarankan anda membaca entri yang bertajuk Sejuk Hangat Panas Pemeluwapan dan Hujan ini terlebih dahulu, ia adalah mengenai kenapa ekonomi boleh jatuh.
Pada 1997, apa yang berlaku cuma adalah krisis kewangan Asia. Yang dialami oleh negara-negara Asia khususnya di Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Hong Kong, Malaysia, Singapura dan China. Di negara lain di luar Asia khususnya, tidak terjejas sama sekali. Walaupun pada mulanya ada kerisauan, 'world recession' akan berlaku. Ya, 'recession' berlaku di Malaysia, tetapi bukan dalam erti kata 'economy recession' yang sebenar.
Saya tidak lah kata, krisis kewangan ini tidak teruk. Ia teruk. Ada individu yang saya tahu, hutangnya masih belum selesai sampai sekarang. Tetapi teruk lagi apabila berlaku 'real economy recession' seperti pada tahun 1930an dan 1980an.
Krisis kewangan 1997 tidak melibatkan keseluruhan sektor ekonomi. Amerika dan Eropah masih stabil. Tetapi 'economy recession' melibat banyak sektor lain serta melibatkan lebih banyak negara dan benua.
Pada 1997, kita tiada krisis tenaga (minyak), makanan, inflasi, sub-prima, perkembangan ekonomi yang lembab (stagnation). Tetapi ia banyak melibatkan bubbles dalam pasaran matawang RM dan juga 'bubbles' pasaran saham dan beberapa perkara yang berkaitan dengan sektor kewangan. Memandangkan wang adalah penting, maka apabila sektor kewangan jatuh, maka secara tidak langsung, sektor lain pun akan terjejas.
'Bubbles' ini berlaku apabila anda mula membeli sabun yang nilai sebenarnya cuma RM 3 seketul, tetapi anda sanggup membelinya pada RM 100 dengan harapan ia akan naik RM 150 pula. Gila bukan? Tetapi itulah yang berlaku dalam pasaran matawang dan pasaran saham pada 1997 dulu di Malaysia.
Pada peringkat 'bubbles' inilah, 'professional trader' dan 'professional spekulator' matawang seperti George Soros masuk ke dalam pasaran membuat 'short selling' terhadap RM. Secara kebetulan, firma pelaburan George Soros ini adalah 'big player'. Apabila ramai tahu George Soros sedang 'betting short' pada matawang di negara Asia, ramai lah yang turut serta.
Adakah George Soros bersalah? Adakah dia penyangak?
Tidak. Sebab George Soros hanya membuat kerja dia selaku 'currency trader'. Apa yang dibuat oleh George Soros sebenarnya sah di sisi undang-undang. Dia tidak main tipu. Malaysia sendiri yang membenarkan 'hort selling' dibuat. Rakyat Malaysia sendiri ramai terlibat 'short the market' ketika itu.
Dia barangkali antara faktor, tetapi dia bukan faktor utama seperti propaganda yang digembar gemburkan yang menyebabkan krisis 1997.
Apabila ekonomi dalam keadaan bubbles, maka ekonomi sebenarnya sudah tiada sandaran yang kukuh. Iyelah, kalau harga sabun RM 3, boleh dijual kembali dengan harga RM 100, apa sandaran yang ada?
Kerajaan Malaysia sepatutnya sudah boleh nampak keadaan ini. Tetapi malangnya, selepas kejatuhan ekonomi barulah terdengar pemimpin Malaysia menyebut tentang prinsip ekonomi Nabi Yusuf. Dan disuruhlah berjimat cermat ketika susah. Ape kehenya yeop?
Sedangkan prinsip ekonomi Nabi Yusuf suruh anda berjimat cermat ketika 'bull market', dan menggunakan hasil simpanan dengan bijak ketika 'bear market', bila 'bear market' sudah ke penghujung, duit yang ada itu dijadikan modal untuk membeli sabun yang bernilai RM 3, yang sedang dijual pada RM 0.10.
Wang sepatutnya mengalir ke pasaran ketika ekonomi jatuh, dan bukan sebaliknya. Sebab kalau tiada orang berbelanja, macam mana peniaga nak cari makan? Macam mana ekonomi mahu berkembang?
Saya ada terbaca artikel-artikel, wawancara dengan orang bijak pandai ekonomi yang mengulas keadaan 'super bull run' Malaysia dan krisis 1997. Mereka sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menasihati kerajaan pada ketika itu. Agar berbuat sesuatu apabila pasaran sudah menjadi 'bubbles' atau 'over-heating'. Ekonomi pasti akan jatuh. Itu adalah lumrah. Justeru perlu ada mekanisme untuk bersedia menghadapi zaman kesusahan. Tetapi adakah pemimpin kerajaan ketika itu mahu mendengar?
Maka untuk menutup kelemahan ini, salahkan sahaja orang lain. George Soros menjadi sasaran utama oleh TDM. Media-media dipergunakan sebaiknya untuk menutup kelemahan kerajaan.
Apabila negara pada 1997 tiada cukup wang, aset dan strategi untuk mempertahankan aktiviti short selling yang berlaku, maka apa yang dibimbangi ketika itu, telah pun berlaku. Kalau dalam istilah pasaran saham / futures, 'the buyer will protect the support line and the seller will guard the resistance line'.
Memandangkan Malaysia tidak cukup kuat ketika itu, maka Malaysia tewas. Krisis kewangan menyebabkan ekonomi Malaysia jatuh. Tetapi kita tiada krisis yang lain ketika itu, selain krisis politik yang berlaku setahun selepas itu.
Apa yang berlaku hari ini, adalah lebih teruk. Krisis Sub Prima. Harga komoditi melambung. Krisis tenaga. Ia berlaku di seluruh dunia. Bukan hanya di Asia, bukan hanya di Malaysia.
Tetapi sekali lagi, kerajaan tidak memainkan peranan sepatutnya. Saya tidak tahu kenapa kerajaan boleh kata krisis sub prima di Amerika tidak mempengaruhi ekonomi Malaysia. Adakah mereka tidak mahu rakyat panik, atau mereka sebenarnya sekali lagi bersikap seperti kerajaan TDM dahulu, mahu menunjukkan semua 'perfect' dan tidak mahu berbicara dengan rakyat untuk bersama-sama menangani masalah ini pada peringkat awal lagi.
Tetapi sekurang-kurangnya, selepas kejatuhan 1997 itu, kerajaan melalui National Economic Action Council (NEAC) telah bersemuka dengan pelbagai pihak untuk mendengar dan mencadangkan pelan pemulihan ekonomi. Dan ini juga barangkali menjadi faktor kenapa orang Cina kekal bersama Barisan Nasional pada pilihanraya 1999 kerana kaum Cina adalah kaum yang menguasai ekonomi dan kerajaan telah bersemuka dengan kumpulan bisnes dan mereka bersetuju dengan pelan tersebut.
Saya harap anda sudah boleh memahami apa sebenarnya berlaku pada 1997, dan apa yang sebenarnya dalam ekonomi sekarang.