CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

14 Mac 2009

Di Sebalik Kisah Pelupusan & Rebat Kereta Lama

Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR
irwan@majalahkereta.com.my


Jepun telah membuktikan polisi mengehad usia kenderaan dapat menyuntik sektor automotifnya. Adakah kita bersedia mengikut polisi yang sama?

DASAR automotif nasional telah menyaksikan harga kereta terpakai jatuh mendadak dan kesannya terpaksa ditanggung rakyat.

ISU mengenai rebat kenderaan berusia 15 tahun kembali kedengaran. Kali ini, ia diharap dapat menyuntik keadaan pasaran automotif yang lembap ekoran kegawatan ekonomi dunia yang melanda.

Dianggarkan lebih 1.5 juta kenderaan yang masih bergerak di jalan raya hari ini berusia lebih daripada 15 tahun. Jika jumlah itu diterjemahkan kepada peratusan kecil kenderaan yang diganti dengan kereta-kereta baru, secara langsung ia dapat mengukuhkan pasaran automotif yang diketahui menerima impak secara langsung akibat kesan ekonomi global tersebut.

Sebelum membuat sebarang perbandingan, kajian mahupun pelaksanaan, kita harus melihat dari sudut mekanisme dan praktiknya terlebih dahulu.

Adakah ia boleh dilaksanakan di Malaysia? Boleh, jika konsep asas dan skala model yang dicontohi dilaksanakan sepenuhnya. Ia akan gagal jika pelaksanaan tidak mengambil kira industri yang berkaitan dengan automotif itu sendiri.

Kita perlu melihat negara terawal yang melaksanakan polisi ini iaitu Jepun. Industri automotifnya adalah yang terbesar di dunia.

Ia bermula sebagai skala kecil domestik, dan sehingga hari ini kereta-kereta itu berjaya diedarkan di tiga per empat pasaran seluruh dunia.

Prinsip asas terhadap pelupusan di Jepun bermula dengan idea untuk memantapkan pasaran pengeluar automotif.

Kita harus melihat asasnya dahulu. Jepun adalah negara yang melaksanakan pembaharuan industri yang berkait rapat dengan syarikat berkaitan kerajaan.

Mitsui dan Mitsubishi adalah antara konglomerat yang terhasil daripada didikan kepentingan perniagaan oleh pemerintah yang akhirnya berjaya berdiri sendiri dengan persaingan yang lebih terbuka.

Teori asas pelupusan kenderaan secara umumnya adalah sangat mudah. Sebagai contoh, kita mengambil Jepun sebagai model praktik. Di sana, kereta yang berusia lima tahun atau lebih akan dilupuskan untuk memastikan orang sentiasa membeli model baru.

Industri automotif Jepun juga unik kerana klasifikasi JDM (Japan Domestic Model) yang secara khusus menepati piawaian yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan di negara itu.

Tiada isu cermin gelap, kerana ia memang dibenarkan (untuk cermin penumpang belakang), malah kereta-kereta JDM ini juga dipasangkan dengan penghad kelajuan yang dikawal kotak komputer kenderaan. Kelajuan 180 kilometer sejam (kmj) untuk kereta biasa, dan 140 kmj untuk kenderaan bersaiz K-Car (Kancil/Kenari/Kelisa).

Baik ia sebuah Lexus 430X atau Nissan GTR, sebaik kenderaan memecut melebihi 180 kmj, enjin akan mati secara automatik.

POLISI automotif di Jepun yang bijak dan praktikal membolehkan kenderaannya boleh dilupus selepas berusia lima tahun.

Banyak lagi ciri-ciri JDM tersebut, namun apa yang ingin kita lihat bagaimana pelaksanaan dasar pelupusan kenderaan Jepun amat berjaya.

Polisi itu dilaksana untuk membolehkan industri automotif mereka berdaya saing tanpa perlu pasaran luar. Jadi, pengeluar seperti Toyota, Honda, Mitsubishi, Subaru dan Mazda melambakkan pelbagai model di pasaran Jepun untuk dipilih pembelinya.

Bagi memastikan prinsip tempoh jangka hayat lima tahun tersebut praktikal (sebelum dilupuskan), ia dijual pada harga yang murah.

Malah, tiada negara di dunia ini menjual kereta semurah Jepun. Untuk memastikan kereta itu dibeli, kedudukan ekonomi individu dipertingkatkan terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, kereta seperti Honda Civic yang berharga RM113,800 di sini, hanya berharga separuh daripada harga itu di Jepun.

Dengan pendapatan perkapita antara yang tertinggi di dunia dan nilai mata wang yang kukuh, kereta tersebut hampir mampu dibeli oleh sesiapa sahaja. Daripada graduan universiti sehinggalah kepada pekerja restoran makanan segera.

Secara langsung, kereta akan lebih cepat dilupus dan digantikan. Industri automotif bergerak lebih pantas dengan situasi sebegini dan permintaan terhadap kereta-kereta baru sentiasa bertambah.

Polisi pelupusan kenderaan itu juga telah membentuk industri hiliran iaitu peralatan ganti kereta terpakai yang cukup untuk menyuntik berbilion dolar lagi terhadap ekonomi Jepun.

Dalam konteks Malaysia, ia sukar dilaksanakan kerana dasar asas terhadap sektor automotif yang rapuh. Malah, bukan sahaja di Malaysia, negara lain seperti Thailand dan Indonesia juga sukar untuk melaksanakan polisi seperti itu.

Dari segi jangka pendeknya, kita dapat melihat peluang pembeli melupuskan kereta dan mendapat rebat RM5,000 untuk kereta baru.

Rebat sebegini bagaimanapun hanya menggalakkan pembeli berhutang. Dari satu sudut, ia membantu sektor automotif menghadapi cabaran kegawatan ekonomi. Namun di sudut yang lain, akan menyebabkan orang menanggung beban hutang bulanan.

Manusia akan melihat secara zahirnya sebagai peluang. Jika dahulu, mereka berpuas hati menggunakan sebuah Nissan Sunny tahun 1988 tetapi dengan adanya polisi seperti ini, ia dilihat sebagai satu peluang untuk membeli kereta baru, sedangkan dalam keadaan ekonomi semasa, ia mungkin satu bebanan bulanan yang besar kepada pembeli.

Sektor yang paling teruk akan terjejas tentu sahaja peniaga kereta terpakai. Mereka yang selama ini menukar beli (trade-in) kereta-kereta lama terpaksa menanggung kerugian akibat polisi rebat ini.

Dasar yang hendak dilaksanakan juga perlu melihat dari banyak aspek. Asasnya mungkin mudah, pendapatan perkapita yang tidak berubah, tetapi kos kenaikan harga barang dan kereta sentiasa meningkat.

Ketidakseimbangan itu mewujudkan polisi yang tentunya tidak sekata. Tidak ada maknanya 10,000 buah kereta baru dijual sebulan dan pada bulan-bulan berikutnya, sebanyak 1,000 unit ditarik oleh bank kerana ketidakmampuan pembeli membayar bayaran bulanan.

Bayaran bulanan? Ya. Itu juga bersangkut-paut dengan perbincangan asas tadi. Polisi bank yang menawarkan pinjaman sembilan hingga 12 tahun hanya menyebabkan wujudnya 'peluang' untuk orang membuat hutang.

Jika dahulu, seorang pembeli hanya mampu membeli Proton Waja dengan tempoh hutang lima tahun, kini beliau mampu membeli Toyota Wish dengan bayaran bulanan yang sama.

KERAJAAN perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan sektor automotif tempatan dapat terus bernafas.

Namun, apa yang tidak disedari ramai ialah tempoh bayaran bulanannya berlanjutan hingga sembilan tahun.

Dasar negara lain yang hampir serupa ialah Singapura yang juga melupuskan kenderaan berusia lima tahun. Namun, ia memiliki perspektif yang amat berbeza. Singapura adalah asas di mana sebuah negara kecil mampu membendung kebanjiran kereta yang hanya menyesakkan lagi jalan raya di sana.

Jika polisi asas Jepun adalah untuk membantu industri automotifnya, Singapura pula bertujuan mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.

Polisi pemberian rebat RM5,000 pada kereta berusia 15 tahun bukanlah dasar yang negatif. Cuma ia perlu diperhalusi dari segenap aspek bagi memastikan tiada kesan langsung kepada mana-mana pihak sekali gus mencapai matlamat yang ditetapkan.

12 Mac 2009

Mengapa Orang Asia rendah berbanding Orang Eropah?

Assalamu'alaikum & salam sejahtera..Siapa yang pernah hidup zaman perang dunia kedua sewaktu Jepun menyerang Tanah Melayu pastinya mereka masih ingat bagaimana orang Jepun ini macam ayam katik atau macam ayam serama kerana mereka adalah orang yang pendek. Bila kita berkunjung ke mana-mana pusat peranginan seperti Genting Highland tentunya kagum melihat orang Amerika dan Eropah besar dan tinggi badan mereka.

Apabila kita belajar dalam ilmu sains dinyatakan bahawa orang Amerika dan Eropah ini mempunyai gen yang khusus yang menjadikan badan mereka tinggi. Pandangan dari ilmu sains ini diterima umum tanpa banyak soal kerana ada perkataan “MENURUT SAINS”. Persoalan yang ingin saya kemukakan disini ialah “Apakah kenyataan sains yang mengatakan orang Amerika dan Eropah ini mempunyai baka atau gen tinggi ini benar atau hanya tipu daya manusia dengan menggunakan sains sebagai alatnya?? ”.

Setengah orang pula mengatakan bahawa jikalau kita makan makanan yang berzat seperti susu, telur dan daging, kita boleh menjadi tinggi macam orang Amerika!!

Sebelum saya mengupas lanjut isu ini mari kita lihat senario ini:

1. Hamba abdi yang diambil dari afrika dulu kebanyakannya pendek namun mengapakah kini bangsa ini di Amerika majoritinya adalah tinggi dan setanding dengan orang Amerika lainya??

2. Sesiapa yang pernah pergi mengerjakan haji atau umrah tentunya pernah melihat orang Arab Saudi sebahagiannya tinggi setanding orang Amerika tetapi sebahagian mereka juga pendek macam orang Malaysia. Begitu juga dengan orang Afrika yang sebahagiannya tinggi dan sebahagiannya pendek??

3. Sewaktu musim haji ini juga kita boleh melihat orang Afghanistan majoritinya tinggi macam orang Amerika sedangkan kita semua tahu bahawa orang Afghanistan ini makan makanan yang tidak mewah semewah majoriti orang Malaysia.

4. Ramai orang benggali di Malaysia jauh lebih tinggi dari kebanyakan orang melayu dan Cina.Ramai orang Indonesia yang bekerja diMalaysia adalah pendek berbanding kebanyakan orang Malaysia.

5. Kebanyakan orang Cina di Tanah Besar Cina juga adalah pendek.

6. Kebanyakan orang Cina yang berhijrah ke Amerika akhirnya menghasilkan keturunan yang semakin tinggi seperti beberapa bintang filem Cina di Hollywood yang setanding dengan orang Amerika lainnya.

7. Kini ramai orang Jepun di Jepun dan orang Cina di Hongkong lebih tinggi saiz badannya berbanding kebanyakan orang Jepun dan Cina dahulu kala.

8. Terdapat banyak kes, datuk nenek dan ibu bapa bersaiz pendek namun menghasilkan anak yang tinggi hingga 5’ 11” atau lebih tinggi lagi.

Memadailah dengan 8 senario yang saya kemukakan di atas untuk membuka minda kita semua bagi topik perbincangan kali ini. Apakah hipotesis yang kita semua boleh ketengahkan untuk menjelaskan senario di atas??

Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana dipertemukan seorang guru yang akhirnya menjadi satu-satunya sahabat yang paling rapat sehingga saya begitu merasakan kehilangannya kira-kira lebih 3 tahun lalu apabila beliau dipanggil menghadap Ilahi pada usia 58. Beliaulah yang begitu banyak sekali membimbing saya dari budaya jahiliah kepada hidup sebagai mudah-mudahan insya-Allah seorang muslim yang beriman.

Selain dari mengajar bab agama, beliau juga banyak mengajarkan saya pelbagai ilmu seperti tanda pada tapak tangan apabila bersalam dengan orang sebagai contohnya orang bujang yang banyak berzina, subhanallah. Pada kali ini saya ingin memanjangkan satu ilmu yang diperturunkan dari guru saya iaitu pengaruh makanan terhadap ketinggian seseorang.

Ilmu tersebut ialah SESEORANG YANG BANYAK MENGAMBIL MAKANAN DARI PRODUK GANDUM AKAN MENJADIKANNYA TINGGI BERBANDING SESEORANG YANG BANYAK MENGAMBIL MAKANAN DARI PRODUK BERAS.

Saya memang begitu memahami tabiaat saya dahulu kala, iaitu bukan mudah untuk menerima pendapat sesiapa walaupun guru saya sendiri dan guru saya juga amat memahami hakikat ini. Inilah yang menyebabkan proses bimbingan arwah guru saya terhadap saya amat halus.

Sebaik menerima ilmu ini saya mula berfikir. Saya mula melihat diri saya ini. Saya dilahirkan oleh ibu bapa dari keturunan jawa tulen. 8 orang adik beradik dan kesemuanya pendek belaka paling tinggi pun sekadar 5’ 4”. Namun Allah jadikan saya dengan ketinggian lebih dari 5’ 11”. Kejadian Allah ada sunnatullahnya. Setelah mengakaji sejarah hidup saya sewaktu kecil hingga remaja dan saya bandingkan dengan adik beradik lain, maka saya akur dengan ilmu dari guru saya tersebut. Sewaktu saya berada di sekolah rendah darjah 1 hingga 6, saya adalah pendek di dalam kelas.

Saya sejak kecil amat gemar kuih yang diperbuat dari tepung gandum seperti kuih ketayap, kaswi, lapis, pau, roti canai dan cekodok. Banyak dari kuih ini saya yang membuatnya sendiri bermula dari usia 10 tahun. Ini adalah perbezaan yang nyata berbanding adik beradik lain yang gemar makan nasi tidak kira pagi, tengahari, petang atau malam. Setelah memasuki tingkatan 4 saya berpindah ke sekolah asrama penuh dan memang roti adalah hidangan utama dan saya juga amat gemarkan roti ini yang saya makan dengan mentega buttercup. Pada peringkat inilah saya perhatikan saya mula menjadi orang yang tertinggi di dalam kelas. Kesimpulan dari sejarah hidup saya ini ialah; saya dilahirkan sebagai seorang yang pendek sehingga tingkatan 1 dan selepas ini saya mula bertambah ketinggian dengan pantas hingga tinggi saya menjadi lebih 5’ 11’ sekarang. Sebenarnya memang saya banyak sekali mengambil makanan dari produk gandum selain nasi.

Selepas mengkaji sejarah hidup saya, saya mula mengkaji sejarah pelajar saya yang tinggi lampai bila ada kesempatan. Ia tepat sekali. Kemudian saya mengkaji orang Benggali. Rupanya bangsa ini memang menjadikan capati sebagai makanan ruji mereka. Padanlah orang Benggali ini majoritinya tinggi kerana mereka banyak makan capati. Capati dibuat dari tepung ata dan sebenarnya tepung ata adalah tepung gandum tulen dan itulah sebabnya tepung ini berwarna keperangan iaitu warna sebenar gandum sebagaimana warna spageti dan makaroni. Tepung gandum yang biasa kita beli memang mengandungi gandum namun ia tidak tulen dan itulah sebab harganya murah dibandingkan dengan tepung ata.

Bila kita kaji orang Afghanistan pula, mereka makan makanan yang sangat asas tanpa makanan mewah seperti kebanyakan orang di Malaysia namun satu fakta pentinya ialah ia makan roti gandum tulen yang menjadi makanan rujinya. Dengan ini, ilmu yang disampaikan oleh arwah guru saya ini adalah benar.

Bila kita lihat pelakon Cina di Hollywood kini ramai yang segak tinggi macam orang Amerika, barulah kita faham bahawa setelah mereka berhijrah, mereka melahirkan generasi muda yang makan makanan yang sama atau mirip makanan orang asli Amerika yang banyak makan produk gandum. Itulah sunnatullahnya yang menjadikan mereka tinggi macam orang Amerika.

Orang Jepun moden dan Cina moden yang tinggal di Hong Kong juga sudah berubah selera mereka dan gemarkan piza dan pelbagai roti. Apabila ia di makan dengan kerap, jadilah mereka generasi baru Jepun dan Cina yang tinggi.

Orang Cina di Tanah besar Cina serta orang Jepun secara tradisinya memang menjadikan beras dan produk beras seperti beehoon, kueutiaw dan sebagainya sebagai makanan utama mereka. Inilah faktor utama yang menjadikan mereka pendek sebagaimana juga orang jawa di Indonesia dan juga yang merantau ke Malaysia. Sekiranya kebiasaan ini dikekalkan, insya-Allah generasi mereka akan kekal pendek tetapi jikalau mereka mula menukar selera dengan makanan produk gandum, insya-Allah generasi muda mereka akan menyaingi ketinggian orang Amerika.

Itulah juga penjelasan mengapa sebahagian orang Arab di Arab Saudi ada yang tinggi dan pendek. Mereka yang banyak makan produk beras akan pendek dan mereka yang banyak makan produk gandum akan insya-Allah tinggi.

Namun satu perkara penting perlu diingat ialah kadar pertambahan tinggi perempuan adalah terhenti pada usia 15 – 17 tahun manakala bagi lelaki adalah pada usia 17 – 20 tahun. Sebaik-baik usaha yang molek untuk melahirkan anak yang tinggi ialah dengan memberikan makanan produk gandum pada usia awal sehingga usia sebelum 15 – 17 bagi perempuan dan 17 – 20 bagi lelaki. Makan produk gandum pada usia melewati usia-usia ini tidak mendatangkan tambahan ketinggian.

Wallahualam.

Karya asal di www.terjah.com