CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

30 Disember 2008

Blog hina Islam konspirasi politik?

Di sebalik kisah wanita Melayu Islam yang bernama Adibah Ahmad yang dikatakan menerbitkan blog yang menghina Nabi Muhammad SAW, nyata kini dia yang berasal dari Kedah itu boleh tidur lena, apabila pandangan rasmi kerajaan yang tersiar di dalam media arus perdana seperti tidak menyalahkannya kerana Adibah dikatakan adalah mangsa kepada satu konspirasi terancang untuk memalukannya. Dengan kata-kata lain beliau difitnah oleh pihak-pihak yang mungkin mencemburui kejayaan dan kesenangan hidupnya.

Tersebut kisah, Adibah dikatakan merupakan seorang akauntan berusia 20an yang bekerja dengan sebuah syarikat kenderaan mewah di Shah Alam berasa sangat terganggu dengan kemunculan blog yang menggunakan identitinya sebagai pemilik blog yang menghina Nabi dan agama Islam dengan begitu lancang dan biadab sekali.

Isunya ialah mengapa Adibah difitnah sedemikian rupa? Saya terbaca di dalam satu blog yang menyatakan Adibah difitnah oleh seorang rakannya yang merupakan seorang wanita Cina dari syarikat yang sama beliau berkhidmat. Penulis blog itu membuat kesimpulan itu berdasarkan andaian bahawa perkataan yang digunakan dalam blog itu ada pelat Cina dan juga keyakinan beliau bahawa orang Melayu Islam tidak akan tergamak dan berani menghina Nabi dan agama sendiri dengan gaya bahasa yang sekejam itu.

Soalnya di sini ialah bukankah Salman Rushdie dari United Kingdom, Ihsan Jami dari Belanda dan Arifur Rahman dari Bangladesh yang pernah menghina Islam itu juga mengaku mereka berketurunan Islam? Jadi dalam hal ini kita tidak boleh menolak kemungkinan pihak yang memfitnah Adibah itu adalah dari kalangan orang Melayu Islam sendiri. Soal pelat Cina yang digunakan boleh diadakan kerana pelawak Melayu pun ramai yang boleh bercakap dalam pelat Cina, India, Sikh dan lain-lain.Jika terbukti bukan Adibah sendiri yang melakukan kerja terkutuk itu, motif cemburu memang boleh diterima. Dan yang cemburu itu tidak semestinya wanita Cina, mungkin dia adalah sesiapa sahaja, termasuk lelaki atau wanita Melayu.

Namun kini selain dari motif cemburu, sembang popular di kedai kopi dan di tepi jalan ialah kemunculan blog menghina Islam itu ada kaitan dengan situasi politik masa kini. Kemunculan begitu banyak blog yang kebanyakannya tidak menyokong parti pemerintah negara telah menggusarkan hati pihak tertentu di negara ini. Jadi sesuatu tindakan perlu dilakukan bagi menghadapi kemunculan blog yang boleh menjejaskan kemenangan majoriti parti pemerintah dalam PRU ke-13 nanti dan persediaan untuk itu perlu bermula dari sekarang. Blog Adibah Ahmad hanya dibina agar pihak berkuasa dapat memperkenalkan sesuatu undang-undang tertentu tidak lama lagi bagi menyekat blog-blog yang tidak memihak kepadanya dari terus muncul berkata benar di dunia siber. Dan Adibah dalam hal ini adalah wanita malang kerana telah dijadikan sebagai kambing hitam dalam sebuah konspirasi terancang lagi licik bagi 'membunuh' blog-blog yang tidak memihak kepada pemerintah!

Sama ada teori itu benar atau hanya sekadar cakap-cakap popular di kedai kopi dan di tepi jalan, hanya masa yang akan menentukannya...


Artikel asal di http://pendikargunung.blogspot.com