CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

20 Disember 2008

Perbezaan krisis kewangan 1997 dan 2009

Di sebalik persoalan kenapa krisis kewangan 1997 tidak sama dengan keadaan hari ini,
saya ada terbaca di blog-blog, yang mengatakan krisis kewangan 1997 adalah real 'economy recession'. Kemudian, mereka juga mempercayai, George Soros adalah satu-satunya manusia jahat yang cuba memusnahkan ekonomi Malaysia.

Sekiranya anda percaya kepada 2 perkara ini, saya fikir anda perlu membetulkan sedikit pemahaman anda. Saya juga sama seperti anda dahulu. Saya juga dahulu fikir krisis 1997 adalah 'real-economy-recession' dan George Soros adalah petualang utama. Jahat sungguh dia bukan?

Sebelum anda membaca post ini dengan lebih lanjut, saya sarankan anda membaca entri yang bertajuk Sejuk Hangat Panas Pemeluwapan dan Hujan ini terlebih dahulu, ia adalah mengenai kenapa ekonomi boleh jatuh.

Pada 1997, apa yang berlaku cuma adalah krisis kewangan Asia. Yang dialami oleh negara-negara Asia khususnya di Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Hong Kong, Malaysia, Singapura dan China. Di negara lain di luar Asia khususnya, tidak terjejas sama sekali. Walaupun pada mulanya ada kerisauan, 'world recession' akan berlaku. Ya, 'recession' berlaku di Malaysia, tetapi bukan dalam erti kata 'economy recession' yang sebenar.

Saya tidak lah kata, krisis kewangan ini tidak teruk. Ia teruk. Ada individu yang saya tahu, hutangnya masih belum selesai sampai sekarang. Tetapi teruk lagi apabila berlaku 'real economy recession' seperti pada tahun 1930an dan 1980an.

Krisis kewangan 1997 tidak melibatkan keseluruhan sektor ekonomi. Amerika dan Eropah masih stabil. Tetapi 'economy recession' melibat banyak sektor lain serta melibatkan lebih banyak negara dan benua.

Pada 1997, kita tiada krisis tenaga (minyak), makanan, inflasi, sub-prima, perkembangan ekonomi yang lembab (stagnation). Tetapi ia banyak melibatkan bubbles dalam pasaran matawang RM dan juga 'bubbles' pasaran saham dan beberapa perkara yang berkaitan dengan sektor kewangan. Memandangkan wang adalah penting, maka apabila sektor kewangan jatuh, maka secara tidak langsung, sektor lain pun akan terjejas.

'Bubbles' ini berlaku apabila anda mula membeli sabun yang nilai sebenarnya cuma RM 3 seketul, tetapi anda sanggup membelinya pada RM 100 dengan harapan ia akan naik RM 150 pula. Gila bukan? Tetapi itulah yang berlaku dalam pasaran matawang dan pasaran saham pada 1997 dulu di Malaysia.

Pada peringkat 'bubbles' inilah, 'professional trader' dan 'professional spekulator' matawang seperti George Soros masuk ke dalam pasaran membuat 'short selling' terhadap RM. Secara kebetulan, firma pelaburan George Soros ini adalah 'big player'. Apabila ramai tahu George Soros sedang 'betting short' pada matawang di negara Asia, ramai lah yang turut serta.

Adakah George Soros bersalah? Adakah dia penyangak?

Tidak. Sebab George Soros hanya membuat kerja dia selaku 'currency trader'. Apa yang dibuat oleh George Soros sebenarnya sah di sisi undang-undang. Dia tidak main tipu. Malaysia sendiri yang membenarkan 'hort selling' dibuat. Rakyat Malaysia sendiri ramai terlibat 'short the market' ketika itu.

Dia barangkali antara faktor, tetapi dia bukan faktor utama seperti propaganda yang digembar gemburkan yang menyebabkan krisis 1997.

Apabila ekonomi dalam keadaan bubbles, maka ekonomi sebenarnya sudah tiada sandaran yang kukuh. Iyelah, kalau harga sabun RM 3, boleh dijual kembali dengan harga RM 100, apa sandaran yang ada?

Kerajaan Malaysia sepatutnya sudah boleh nampak keadaan ini. Tetapi malangnya, selepas kejatuhan ekonomi barulah terdengar pemimpin Malaysia menyebut tentang prinsip ekonomi Nabi Yusuf. Dan disuruhlah berjimat cermat ketika susah. Ape kehenya yeop?

Sedangkan prinsip ekonomi Nabi Yusuf suruh anda berjimat cermat ketika 'bull market', dan menggunakan hasil simpanan dengan bijak ketika 'bear market', bila 'bear market' sudah ke penghujung, duit yang ada itu dijadikan modal untuk membeli sabun yang bernilai RM 3, yang sedang dijual pada RM 0.10.

Wang sepatutnya mengalir ke pasaran ketika ekonomi jatuh, dan bukan sebaliknya. Sebab kalau tiada orang berbelanja, macam mana peniaga nak cari makan? Macam mana ekonomi mahu berkembang?

Saya ada terbaca artikel-artikel, wawancara dengan orang bijak pandai ekonomi yang mengulas keadaan 'super bull run' Malaysia dan krisis 1997. Mereka sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menasihati kerajaan pada ketika itu. Agar berbuat sesuatu apabila pasaran sudah menjadi 'bubbles' atau 'over-heating'. Ekonomi pasti akan jatuh. Itu adalah lumrah. Justeru perlu ada mekanisme untuk bersedia menghadapi zaman kesusahan. Tetapi adakah pemimpin kerajaan ketika itu mahu mendengar?

Maka untuk menutup kelemahan ini, salahkan sahaja orang lain. George Soros menjadi sasaran utama oleh TDM. Media-media dipergunakan sebaiknya untuk menutup kelemahan kerajaan.

Apabila negara pada 1997 tiada cukup wang, aset dan strategi untuk mempertahankan aktiviti short selling yang berlaku, maka apa yang dibimbangi ketika itu, telah pun berlaku. Kalau dalam istilah pasaran saham / futures, 'the buyer will protect the support line and the seller will guard the resistance line'.

Memandangkan Malaysia tidak cukup kuat ketika itu, maka Malaysia tewas. Krisis kewangan menyebabkan ekonomi Malaysia jatuh. Tetapi kita tiada krisis yang lain ketika itu, selain krisis politik yang berlaku setahun selepas itu.

Apa yang berlaku hari ini, adalah lebih teruk. Krisis Sub Prima. Harga komoditi melambung. Krisis tenaga. Ia berlaku di seluruh dunia. Bukan hanya di Asia, bukan hanya di Malaysia.

Tetapi sekali lagi, kerajaan tidak memainkan peranan sepatutnya. Saya tidak tahu kenapa kerajaan boleh kata krisis sub prima di Amerika tidak mempengaruhi ekonomi Malaysia. Adakah mereka tidak mahu rakyat panik, atau mereka sebenarnya sekali lagi bersikap seperti kerajaan TDM dahulu, mahu menunjukkan semua 'perfect' dan tidak mahu berbicara dengan rakyat untuk bersama-sama menangani masalah ini pada peringkat awal lagi.

Tetapi sekurang-kurangnya, selepas kejatuhan 1997 itu, kerajaan melalui National Economic Action Council (NEAC) telah bersemuka dengan pelbagai pihak untuk mendengar dan mencadangkan pelan pemulihan ekonomi. Dan ini juga barangkali menjadi faktor kenapa orang Cina kekal bersama Barisan Nasional pada pilihanraya 1999 kerana kaum Cina adalah kaum yang menguasai ekonomi dan kerajaan telah bersemuka dengan kumpulan bisnes dan mereka bersetuju dengan pelan tersebut.

Saya harap anda sudah boleh memahami apa sebenarnya berlaku pada 1997, dan apa yang sebenarnya dalam ekonomi sekarang.