CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

06 Disember 2008

Relevankah Format Organisasi UMNO?

Enam puluh tahun dulu apabila Dato' Onn Jaafar, selaku Yang Dipertua Umno, dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (kini Majlis Tertinggi) parti tersebut menerima cadangan dan usul penubuhan Perikatan Pemuda Umno (kini Pergerakan Pemuda Umno) dan Jabatan Kaum Ibu Umno (kini Pergerakan Wanita Umno), tidak pernah terlintas di minda mereka betapa satu ketika nanti kedua-dua sayap minoriti parti ini akan turut sama sibuk dalam perebutan jawatan dengan matlamat menentukan imbangan kuasa masing-masing dan seterusnya sebagai perancangan untuk menaiki tempat paling tinggi dalam piramid hirarki parti berkenaan.Penubuhan kedua-dua sayap ini juga akhirnya menjadi seolah-olah format standard semua parti politik yang ditubuhkan selepas itu, termasuk parti pembangkang.

Itu cerita pertengahan 1940-an sewaktu hanya segelintir sahaja orang Melayu yang tahu menyebut perkataan politik dan tidak ramai yang faham erti perkataan 'siasah'. Malah apabila Umno ditubuh pada 1946, orang Melayu tak kisah tentang siapa yang patut jadi jawatankuasa badan berdaftar yang bakal digunakan sebagai 'vehicle' untuk menentang British.

Jawatankuasa yang kemudiannya ditubuhkan juga tidak kisah siapa yang nak dijadikan sebagai Yang Dipertua Parti (kini disebut Presiden). Sebagaimana yang diketahui sejarah, Pendeta Za'ba (Zainal Abidin bin Ahmad) telah diusulkan untuk jawatan tersebut tetapi menolaknya. Ini kerana walaupun beliau seorang tokoh intelektual Melayu (satu-satunya anak Melayu yang pernah menjadi pensyarah Universiti of London), namun beliau adalah seorang pemikir dan bukannya seorang aktivis agresif politik.

Lagipun pada ketika itu tidak ramai orang Melayu yang berani berdepan dengan mana-mana Raja-Raja Melayu apatah lagi untuk membawa sembah supaya ke bawah dulu Sultan, Raja dan Yang diPertuan Besar memboikot upacara perisytiharan Malayan Union.Namun kerana tugas ini sanggup dipikul oleh Dato' Onn dan beliau juga cukup dikenali oleh orang Melayu sebgai antara aktivis paling lantang terhadap British, maka jawatan tersebut diberikan kepada beliau.

Apapun, yang penting ketika itu bukannya format parti. Fokus utama Umno adalah untuk mendesak kerajaan Great Britain supaya memansuhkan Malayan Union. Justeru apabila Umno mencapai semua matlamat penubuhannya (tanpa menyentuh soal bagaimana dan mengapa sesuatu perkara dibiarkan berlaku dalam sejarah), tidak ada sesiapapun yang memperdulikan soal format ini.

Sebaliknya ia dikekalkan dan kedua-dua sayap ini turut sama sibuk dalam semua mesyuarat agung tahunan dan pemilihan parti berkenaan setidak-tidaknya selepas merdeka. Lagipun Umno sendiri telah memulakan budaya bahawa jika seseorang dipilih sebagai Ketua Wanita dan Ketua Pemuda maka mereka ini akan turut diberikan jawatan dalam kerajaan.

Maka dengan itu, soal melatih pemimpin pelapis dan menjadikan kaum ibu sebagai tenaga di belakang perjuangan tidak lagi menjadi agenda utama. Dengan mengambil kira realiti kepentingan nasional masa kini, apakah relevannya Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno? Itu belum lagi diambil kira banyak mana sangatlah sumbangan Pemuda dan Wanita parti itu dalam sejarah Umno selain daripada menjadi tukang sibuk dan menyemarakkan perebutan jawatan dalam parti dan sayap dan juga mewujudkan ruang untuk berlakunya amalan politik wang?

Tidak dapat dinafikan betapa dalam kehidupan kaum lelaki dan wanita perlu wujud secara 'vis-a-vis'. Tetapi apakah hal ini memerlukan sebuah sayap politik yang turut sama diberikan kepentingan kepimpinan politik. Begitu juga dengan soal pemimpin pelapis. Apakah sekadar mahu melatih pemimpan masa depan maka sebuah sayap yang cara pemilihan pucuk pimpinannya seolah-olah bertaraf 'pari passu' dengan pemilihan badan induknya?

Dengan mengambil kira Umno sebagai sebuah pertubuhan politik dan bukannya sebuah badan kebajikan dan sebagaikanya, apakah benar-benar perlu sayap-sayap seperti ini dan kini di tambah pula dengan Putera dan Puteri? Apakah yang sebenarnya ingin dibuktikan oleh Umno?Sekiranya Umno hanyalah satu-satunya parti tunggal yang memerintah negara ini sekalipun, maka ia hanya mewakili 27 juta manusia?

Sebagai perbandingan kita ambil Parti Komunis China, parti politik terbesar di dunia dengan keahlian 70 juta dan memerintah Republik Rakyat China dengan jumlah penduduk 1.33 bilion (sebagaimana Julai 2008). Format dan struktur parti tersebut tidak mempunyai sebarang pergerakan wanita atau pemuda atau puteri atau putera. Mereka tidak membuang masa dengan hal seperti ini. Mereka hanya mempunyai sebuah Jawatankuasa Pusat dengan lima lagi jawatankuasa di bawahnya.

Begitu juga dengan, misalnya Parti Demokratik di Amerika Syarikat di mana Barrack Obama baru sahaja memenangi pilihan raya Presiden AS awal bulan lalu. Walaupun parti berkenaan mempunyai 72 juta ahli/penyokong dan dalam konteks kini akan memerintah 301juta penduduk/rakyat AS, ia tidak pula mempunyai sayap wanita atau pemuda dan sebagainya yang tersendiri.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Pusat parti berkenaan, Howard Dean juga bukanlah secara automatik akan menjadi Presiden AS, sebagaimana format yang dimulalkan dan diamalkan oleh Umno. Sebenarnya apakah yang cuba dibuktikan oleh Umno dalam mengekalkan format yang sudah lapuk dan tidak relevan sama sekali dalam sesebuah organisasi politik ini?

Apakah mereka mahu membuktikan betapa mereka lebih bijak dalam menyusun format dan struktur organisasi parti? Atau apakah kononnya keperluan politik di Malaysia tidak sama dengan keperluan politik di negara-negara lain (dari segi sturuktur dan format parti?). Apakah urusan mentadbirkan sebuah parti yang mempunyai keanggotaan kira-kira 3 juta ahli lebih sukar, lebih kompleks, lebih complicated dari urusan mentadbir sebuah parti dengan keahlian 70 juta?

Apakah, menurut para pemimpin Umno, format dan struktur parti pemerintah seperti ini adalah amat perlu bagi memerintah 27 umat manusia berbanding dengan 1.3 bilion atau 300 juta umat manusia?

Mungkin pemimpin Umno lebih bijak dari pemimpin mana-mana parti di dunia ini sekalipun. Maka mungkin disebabkan kebijaksanaan yang tidak ada tolok bandingnya ini menyebabkan Umno tidak pernah menghadapi sebarang krisis dalaman atau krisis kepercayaan rakyat. Mungkin satu kebodohan bagi mereka yang tidak mengikuti format yang telah diwujud dan dikekalkan oleh Umno ini.

Barangkali kerana kebodohan inilah AS menjadi negara termaju di dunia dan China berjaya mengangkat ekonominya ke tahap fenomenal selepas pelancaran The Great Leap Forward (Dayuejin) pada tahun 1958. Bagi rakyat Malaysia yang telah diperintah oleh Umno-BN selama 51 tahun (BN juga mengikuti format yang sama seperti Umno), sejauhmanakah kita telah melompat? Jauh ke di depan? Masih bertatih? Atau berundur ke belakang?

Pelukis Scottish John Quinton pernah berkata: "Ahli politik adalah manusia yang melihat cahaya di hujung terowong, kemudian keluar dan beli lebih banyak lagi terowong."

Pemilihan pucuk pimpinan Umno Mac tahun depan (dengan format yang serupa) digambarkan sebagai "ada cahaya di hujung terowong" bagi parti Umno khususnya dan orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Namun, persoalannya, berapa banyak lagi terowong yang diperlukan untuk kita akhirnya benar-benar tersilau melihat cahaya di hujungnya? - Hrkh _