Di sebalik polemik politik negeri Perak, akhirnya terlerai dengan keluarnya titah Paduka Seri Sultan Perak agar MB Perak dan Seluruh Exconya meletakkan jawatan serta-merta atau jawatan itu dianggap kosong sekiranya dia gagal mengikut titah tersebut. Namun begitu, adakah titah itu ‘valid’ mengikut undang-undang?
Timbul persoalan kerana Sultan Perak telah mendahului apa yang sepatutnya berlaku pada Persidangan DUN Perak April ini. Bukankah prosedur yang patut dibuat oleh Najib selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak menunggu persidangan tersebut diadakan untuk ADUN BN mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Kerajaan Pakatan Rakyat dan bukannya ditumbangkan dengan kadar segera seperti ini. Demokrasi Malaysia adalah berlandaskan Perlembagaan dan Undang Tubuh Negeri masing-masing. Kenapa mandat rakyat akhirnya dihapuskan oleh ketetapan seorang Raja Berperlembagaan?
Ini yang menjadi isu yang diperbincangkan tetapi dalam masa yang sama saya yakin pihak pembangkang tidak akan bersikap seperti apa yang berlaku di Perlis dan Terengganu selepas PRU 12 yang lalu. Sultan Perak selaku mantan Ketua Hakim Negara yang pernah menulis buku membicarakan konteks Raja Berperlembagaan hanya berkisarkan hal-hal rasmi (Di dalam bukunya “Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance,” Sultan Perak yang juga bekas Ketua Hakim Negara menyatakan:
“Under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di-Pertuan Agong would not withhold his consent to a request for dissolution of parliament. His role is purely formal”.)kerana pemerintah negeri yang sebenar mengikut hukum politik tetap MB atau Ketua Kerajaan yang diperkenankan Raja Pemerintah Negeri. Akan tetapi hal yang berlaku jelas menunjukkan sesuatu yang kurang jelas dari keputusan yang dibuat. Apakah Sultan Perak tidak sedar kedudukan kerusi sebanyak 28 yang sama dengan Pakatan Rakyat hanya membezakannya ialah sokongan tiga ADUN Bebas juga tidak mantap seperti yang diwar-warkan? Bila-bila sahaja akan berlaku lompat-melompat sokongan ADUN kepada siapa sahaja yang mereka suka. Apakah pada waktu itu, baru hendak dibubarkan Dewan Undangan Negeri?
Mandat rakyat yang diberi tidakkah diambil kira baginda? Mungkin inilah yang dinamakan kebijaksanaan Paduka Seri Sultan Perak mengendalikan kemelut politik terkini di Perak. Akhirnya Kerajaan BN yang bakal ditubuhkan akan dikenali sebagai Kerajaan Penyamun oleh umum yang menolak cara Kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan.
Apapun telahan, apapun hal, apapun yang telah berlaku, kita tunggu sahajalah apa yang akan berlaku seterusnya di Perak dan seluruh negara selepas ini….