Di sebalik isu hangat terkini, teringatlah saya sejarah kedaulatan Raja berpelembagaan di negara ini selepas merdeka. Teringatlah tentang kedaulatan Raja-Raja yang dihakis oleh kerajaan BN dalam krisis perlembagaan pada 1983. Teringat juga episod imuniti Raja-Raja yang dihapuskan pada 1993 oleh kerajaan BN. Teringat bagaimana kejamnya media arus perdana pada 1993 yang dikuasai BN yang menelanjangkan kisah-kisah keburukan Raja-Raja dan kaum kerabat mereka, termasuk kisah gaya hidup, kekayaan dan kisah-kisah peribadi seperti suka berpoya-poya dan sering membuat salah laku. Lalu keluarlah kisah anak Raja yang memiliki kereta Lamborghini bernilai jutaan ringgit, ada yang santap dalam pinggan bersalut emas dan pelbagai lagi kisah yang dicungkil oleh media milik BN untuk memburukkan Raja-Raja. Bukan sahaja berita, filem-filem lama tentang kekejaman dan ketidak bijaksanaan Raja-Raja juga dipaparkan di TV ketika itu, termasuk kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Raja Bersiung, Musang Berjanggut, Lancang Kuning, Singapura Dilanggar Todak dan lain-lain lagi. Cerita-cerita itu pula diulang tayang di TV bukan sekali dua kali tapi banyak kali hingga berminggu-minggu lamanya.
Semua orang ketika itu tahu tujuan Kerajaan BN melakukan penghinaan terhadap Raja-Raja melalui media ketika itu adalah untuk membentuk persepsi rakyat bagi membenci Raja-Raja Melayu. Kerajaan BN cuba katakan Raja-Raja Melayu berperangai buruk dan oleh itu imuniti yang mereka nikmati harus dihapuskan. Percubaan menghina Raja-Raja Melayu oleh UMNO ketika itu sampai ke puncak apabila terdapat percubaan untuk melantik seorang Sultan baru di Kelantan oleh UMNO di bawah sepohon pokok!!
Dan kisah penghinaan UMNO terhadap Raja-Raja Melayu itu timbul lagi selepas PRU ke-12 tahun lepas di Terengganu dan Perlis. Kisah penghinaan UMNO terhadap Raja-Raja di Terengganu dan Perlis itu tidak perlu diceritakan lagi kerana semua orang sudah tahu dan ia masih segar dalam ingatan kebanyakan orang. Barangkali hanya segelintir pemimpin dan penyokong UMNO yang buat-buat terlupa sejarah sahaja yang tidak ingat cerita penghinaan parti itu terhadap Raja-Raja.
Yang tersurat ialah hasrat UMNO untuk mendaulatkan Raja berpelembagaan. Yang tersirat ialah sejak dulu UMNO telah membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa merekalah sang juara yang tidak pernah segan silu untuk menghina Raja, memperlekeh Raja, memperbodohkan Raja dan akhirnya menghapuskan kebanyakan kuasa dan imuniti baginda.
Dan kini apabila UMNO menyatakan ingin mendaulatkah Raja-Raja ia tidak lebih dari satu cerita lawak tepi jalan yang tiada siapa percaya. Sejarah telah mencatatkan merekalah juara penghina Raja-Raja Melayu dan sejarah itu tidak akan terpadam dulu, kini dan selamanya.
Artikel asal di www.pendikargunung.blogspot.com
10 Februari 2009
UMNO Mendaulatkan Raja Berpelembagaan ?
Posted by hamba-ALLAH at 1:54 PTG
Labels: Kerajaan BN, Kesultanan, PAS, Perak